USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MAHASISWA DISERU JADI AGEN PERUBAHAN KESELAMATAN

 DSC8110

PULAU PINANG, 29 Oktober 2015 – Menyedari akan kepentingan pemanduan kereta dan menunggang motosikal mengikut peraturan jalan raya, Sekreteriat Keselamatan Jalan Raya Universiti Sains Malaysia (USM) menganjurkan program ‘Jom Dapatkan Lesen’ untuk warga kampus USM khususnya para pelajar dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya Pulau Pinang (JKJR PP) dan Pusat Memandu Mutiara (PMM).

Pengarah JKJR Pulau Pinang, Muhammad Husni Mahmud berkata, kempen seumpama ini mampu membentuk sikap dalam diri masyarakat khususnya para belia dalam memastikan pemanduan dan menunggang motosikal mengikut peraturan jalan raya.

“Kita mengambil inisiatif ini kerana kita lihat tidak semua pelajar universiti memandu kereta dan menunggang motosikal mempunyai lesen memandu. Oleh itu idea untuk adakan program ini mampu menarik lebih ramai pelajar USM supaya mengambil lesen dengan kemudahan yang disediakan dan harga yang berpatutan.

Tambahnya lagi, pelajar universiti merupakan agen keselamatan bukan sahaja di peringkat universiti, tetapi juga di negara ini. Oleh itu ilmu tentang keselamatan jalan raya itu penting untuk membantu masyarakat mementingkan keselamatan untuk menjadikan Malaysia ini negara sifar kemalangan maut.

“Untuk capai sasaran tersebut, sikap masyarakat perlu diubah. Bukan sahaja kempen yang diadakan namun sikap manusia itu perlu diubah. Sikap merupakan punca utama kemalangan berlaku.

"Oleh itu, golongan belia perlulah menjadi agen perubahan menyampaikan isu-isu keselamatan kepada masyarakat dalam mengurangkan kadar kemalangan maut," katanya lagi dalam sidang media selepas majlis perasmian 'Jom Dapatkan Lesen' di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengurus PMM, Norhayati Hamid berkata, kerjasama dan peluang yang diberikan oleh JKJR USM untuk PMM amatlah dihargai dan berharap pelajar USM dapat menggunakan peluang ini untuk mendapatkan lesen dengan sebaik mungkin.

“Penguatkuasaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terhadap kelas pembelajaran pemanduan kereta dinaikkan dari 8 jam kepada 16 jam selain diajar juga komponen kereta dan memberi tekanan kepada penjagaan kereta yang diharapkan pelajar dapat manfaatkan untuk mendapatkan lesen," katanya lagi.

Duta JKJR USM, Ahmad Rasul Haribun, 23, pula berkata, kempen ini merupakan siri kedua diadakan memandangkan ianya mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada pelajar USM.

“Dalam siri pertama pelancaran kempen ini pada April lalu, seramai 50 orang telah berjaya mendapatkan lesen memandu, saya berharap untuk siri kedua ini akan lebih ramai lagi yang akan mendaftar bagi mengikuti kelas memandu di PMM," katanya.

Selain daripada itu, menurut Ahmad Rasul, selain kempen ‘Jom Dapatkan Lesen’ JKJR USM turut mengadakan kempen keselamatan pertolongan cemas yang baru diadakan baru-baru ini bertujuan memberi pengetahuan kepada pelajar tentang situasi ketika kecemasan.

Sementara itu, pelajar USM, Siti Zalikha Zakaria, 22, menyambut baik kempen yang diadakan seperti ini dalam memudahkan para pelajar untuk mendapat lesen.

“Program seumpama ini dapat memudahkan pelajar USM kerana ada juga pelajar yang mempunyai masalah pengangkutan untuk ke PMM yang dengan adanya pengangkutan yang disediakan akan memudahkan pelajar yang ingin mendapatkan lesen," kata pelajar dari Pusat Pengajian Komunikasi ini. 

Teks: Syuhada bt Abd Aziz

Foto: Zamani Abdul Rahim

  • Created on .
  • Hits: 954

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024