KESEDARAN TERHADAP CSR FILANTROPI MASIH RENDAH
PULAU PINANG, 28 Okt. 2015 – Kesedaran umum khususnya organisasi perniagaan terhadap tanggungjawab sosial korporat (CSR) jenis filantropi, iaitu memberi sesuatu ganjaran secara ikhlas tanpa berharap pada sebarang balasan masih rendah dan kurang diamalkan.
Pensyarah Pusat Pengajian Pegurusan (PPP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd. Anuar Arshad berkata CSR diketahui umum adalah salah satu cara untuk mana-mana organisasi yang bermotifkan keuntungan memberi sumbangan semula kepada masyarakat.
Katanya, CSR terbahagi kepada pelbagai bentuk antaranya strategik dan filantropi namun amalan CSR filantropi paling kurang diamalkan di kebanyakan negara termasuk Malaysia.
"CSR filantropi sebetulnya adalah yang paling beretika kerana ganjaran yang dikongsi bersama masyarakat tidak mengharapkan sebarang balasan dan ia dibuat semata-mata untuk menghargai atau dipanggil giving back to society,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media khas yang memperincikan program Business Ethics Summit Twenty 15 (B.E.S.T 2015) yang akan diadakan di USM dengan penglibatan lebih 120 peserta penghujung November depan.
Anuar yang juga penasihat kepada BEST 2015 berkata, organisasi perniagaan kebiasaannya mengaplikasikan CSR strategik yang mana dalam memberi ganjaran mereka turut meminta masyarakat melakukan sesuatu untuk kepentingan organisasi.
"Contohnya, sebuah syarikat memberi minuman percuma kepada orang ramai dan mengkategorikan ia sebagai satu program CSR. Tapi sebenarnya ia lebih bersifat promosi kerana pada akhirnya mereka meminta kita membeli produk.
“Hal seumpama ini boleh menjadi telus dan boleh juga tidak telus kerana organisasi tersebut masih berharapkan sesuatu dari masyarakat. Walaupun ia tidak salah namun dari segi etikanya boleh dipertikaikan,’’ katanya.
Tambah beliau, perkara ini yang cuba diterapkan dalam penganjuran BEST 2015 yang membolehkan para peserta yang terlibat dapat memahami konsep CSR secara lebih menyeluruh.
Katanya lagi, BEST 2015 yang bertemakan The Untold Story of Corporate Social Responsibility bermatlamat untuk menyediakan platform kepada siswa-siswi institusi pengajian tinggi meneroka isu dan aktiviti berhubung etika perniagaan dalam organisasi.
“Kita mahu mewujudkan kesedaran terhadap etika dalam perniagaan dan memastikan setiap dari mahasiswa dapat mempraktikkan etika yang tinggi apabila mereka keluar ke lapangan kerjaya kelak,’’ ujar beliau.
Yang hadir sama ke sidang media itu ialah seorang lagi pensyarah PPP merangkap penasihat program, Dr. Azura Abdullah Affendi, Pengarah Projek BEST 2015, Ng Soon Sun, penaja utama dari Gold2u Sdn. Bhd, Dato’ Simon Boon Loong dan sebagainya.
Teks: Marziana Mohamed Alias
Foto: Mohd. Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1409