PENTING MEMAHAMI KESINAMBUNGAN BUDAYA
PULAU PINANG, 29 Oktober 2015 - Kefahaman terhadap sejarah penting dalam membuat kesimpulan terhadap sesuatu isu misalnya dalam hal warisan budaya.
Pensyarah Bahagian Sejarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Nazarudin Zainun menyifatkan sejarah kedatangan orang Jawa ke Johor misalnya penting untuk membuktikan bahawa terdapat kesinambungan budaya yang dipraktikkan sekarang dengan mewarisi dari mereka yang terdahulu.
“Ini penting kerana sejak akhir-akhir ini ramai orang mempertikaikan beberapa perkara seperti isu curi budaya, curi makanan dan sebagainya padahal apabila sesebuah bangsa atau suku bangsa berpindah ke suatu tempat ke tempat lain, mereka tidak dapat memisahkan diri mereka dengan budaya yang dibawa itu,” katanya.
Walaupun demikian, Nazarudin berkata, dalam isu ini, apabila disebut tentang isu seperti curi budaya atau mengambil budaya Indonesia ke Malaysia, ini sebenarnya tidak timbul apabila orang Jawa itu sendiri memang sudah berada di Malaysia berdasarkan sejarah awal kurun ke-19 masihi.
“Memang ramai orang Jawa dibawa masuk untuk tujuan ekonomi dan sosioekonomi, jadi tidak ada isu sebenarnya dan tidak perlu dibangkitkan tetapi disebabkan terdapat isu-isu politik yang dimainkan apatah lagi terdapat segelintir orang cuba mengambil kesempatan yang menjadikan isu ini serius yang tidak sepatutnya diangkat ke permukaan dan diperbesarkan," tambahnya lagi.Falsafah hidup orang Jawa “mangan ora mangan, anger kumpul” dapat dikaitkan dengan budaya dan aktiviti kemasyarakatan yang dilakukan oleh mereka.
Maksud yang terkandung dari falsafah tersebut ialah sama-sama memikul susah dan sama-sama merasa senang malah banyak aktiviti kemasyarakatan atau budaya dalam kehidupan masyarakat Jawa merujuk kepada perkongsian sama-sama senang dan susah.
Penghijrah awal keturunan Jawa datang ke Tanah Melayu membuka kampung-kampung di hutan-hutan yang telah diteroka dan kehidupan di tempat baru yang serba kekurangan menyebabkan mereka perlu berkongsi dalam banyak hal dan perkongsian yang telah diamalkan sejak awal telah membentuk budaya tersendiri dan utuh.
Kajian ini mendapati dalam kegiatan gotong royong masyarakat Jawa, terdapat banyak istilah yang digunakan yang menggambarkan khusus dalam aktiviti seperti kerigan, sambatan, rewang dan gayuban.
"Selain itu, perkongsian yang ditemui dalam aktiviti kemasyarakatan seperti kenduri kendara, kelahiran, kematian, meskipun kemodenan telah mengubah bentuk perkongsian namun amalan falsafah “mangan ora mangan anger kumpul” tetap dilestarikan," jelasnya lagi.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
Foto: Ahmad Zulman Mohd Zain
- Created on .
- Hits: 1398