USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PELIHARA KHAZANAH LAUTAN UNTUK GENERASI AKAN DATANG

IMG 20151029 WA0046

PULAU PINANG, 28 Oktober 2015 – Pakar Biologi Marin menyeru mahasiswa agar mengadakan aktiviti pembersihan pantai walaupun sekali setahun yang  sedikit sebanyak dapat menimbulkan kesedaran terhadap kepentingan kelestarian terhadap biodiversiti lautan.
 
Pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kajihayat Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mahadi Mohammad membuat seruan demikian ketika memberikan ceramah kepada kira-kira 200 orang mahasiswa yang menghadiri siri ceramah bertajuk Miracle of Marine Life di sini malam tadi anjuran Sekretariat Kampus Sejahtera Universiti Sains Malaysia (USM) melalui kluster Biodiversiti.

Menurut Mahadi yang pernah mengikuti ekspedisi ke Antartika, 70% daripada bumi ini diliputi dengan air/lautan manakala 30% lagi adalah darat dan jika diterbalikkan supaya 70% diliputi darat, bumi ini tidak akan seimbang dan sisa-sisa buangan akan sampai ke laut justeru merosakkan bumi ini.

"Pengetahuan mengenai lautan amat luas untuk dipelajari serta diterokai oleh manusia dan pengetahuan tentang lautan perlu bermula dengan ilmu berkenaan pasang surut air laut terlebih dahulu," katanya.

Tambahnya lagi, perbezaan antara nelayan di Malaysia dan negara Barat dapat diperhatikan melalui pengetahuan mereka berkenaan pasang surut air laut ini serta cara dan waktu sesuai yang patut diketahui untuk penangkapan ikan.

IMG 20151029 WA0049

"Di negara Barat, dengan kecanggihan teknologi yang ada, mereka mampu mengenal pasti ikan yang terdapat di dalam lautan melalui sistem pengesanan sebelum membuat keputusan untuk menangkap ikan tersebut yang menunjukkan kelestarian sistem perikanan juga dapat digunapakai serta dipraktikkan di Malaysia supaya ekosistem dan kelangsungan hidupan laut di sini masih boleh dipelihara," tegasnya lagi.

Mahadi juga berkongsi pengalamannya menyelam dan menikmati keindahan di bawah dasar lautan yang tersimpan pelbagai khazanah kehidupan yang perlu diketahui oleh generasi kini agar mereka dapat berkongsi ilmu ini dengan generasi akan datang.

Selain daripada itu, menyelam pula adalah satu disiplin dan bukannya perkara yang menyeronokkan kerana setiap kali menyelam, penyelam hanya perlu mempunyai satu matlamat sahaja iaitu contohnya jika hendak menyelam mencari ikan yu, perlu hanya mencari ikan yu sahaja kerana jika terlalu lama di dalam air, kadar gas nitrogen akan meningkat yang boleh menyebabkan simptom narkosis kepada para penyelam.

Narkosis terjadi apabila penyelam yang bernafas pada kedalaman lebih 40 meter berisiko untuk mengalami keracunan gas atau dikenali sebagai nitrogen narkosis iaitu keracunan kerana nitrogen yang wujud dalam udara larut dalam saraf yang akan menyebabkan tekanan meningkat dan kesannya penyelam mengalami khayal, kurang tumpuan, hilang pertimbangan dan gangguan koordinasi.

Salah satu keindahan alam lautan ialah terumbu karangnya di mana terdapat satu kawasan di utara Australia meliputi Indonesia Timur yang dipanggil 'Coral Triangle' yang kaya dengan biodiversiti marin di dunia.

Mahadi juga melahirkan rasa kesalnya terhadap pencemaran yang kian jelas dapat dilihat terhadap pantai dan lautan disebabkan oleh sampah sarap, tumpahan minyak dan lain-lain lagi yang mencacatkan permandangan dan merosakkan ekosistem lautan itu sendiri.

Teks dan Foto: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 1138

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024