USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PEMBEDAHAN REKONSTRUKTIF BANTU PESAKIT KANSER

KUBANG KERIAN, 27 Oktober 2015 – Golongan penghidap kanser payudara di negara ini tidak perlu bimbang lagi kerana kaedah pembentukan semula payudara akan dilakukan melalui pembedahan rekonstruktif bagi memastikan kedua-dua payudara seimbang seperti sedia kala.

Menurut Pensyarah Unit Sains Rekonstruktif, Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Dr. Arman Zaharil Mat Saad, pembedahan rekonstruktif akan memberikan keseimbangan kepada badan serta kebebasan memakai pakaian malah membantu memulih emosi pesakit.

Program “October Awareness of Breast Cancer 2015” yang berlangsung di Auditorium Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) anjuran Pusat Sumber Kanser Payudara Hospital USM ini turut menjelaskan cara-cara pembentukan payudara yang boleh dilakukan melalui dua cara berbeza iaitu pembedahan plastik atau pembedahan yang menggunakan tisu badan daripada anggota badan lain.

“Kalau pada peringkat awal kita buat pembedahan rekonstruktif, hasil yang akan diperolehi lebih cantik dan bentuk payudara seakan sama dengan sebelumnya malah melalui hanya satu pembedahan sahaja. Manakala bagi pembedahan rekonstruktif lewat pula, kebaikannya adalah kita dapat pastikan kehadiran kuman kanser telah tiada tetapi tidak menjanjikan bentuk lebih sempurna berbanding pembedahan peringkat awal,” katanya.

Berdasarkan kajian dan pemerhatian, 76 % pesakit menyesal kerana menjalankan pembedahan lewat kerana akan melalui dua pembedahan dalam tempoh 2 tahun ataupun selepas selesai menjalani kemoterapi dan radioterapi.

Tambah Arman lagi, sesetengah pesakit tidak sanggup kehilangan payudara kerana risau tiada jalan penyelesaian malah sanggup berjumpa bomoh daripada doktor.

Program ini disertai oleh 250 orang yang turut menjemput dua orang pesakit kanser payudara yang sembuh sepenuhnya untuk berkongsi pengalaman.

Teks/Foto: Muhd Zulkifli Zakaria

  • Created on .
  • Hits: 850

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024