KANSER PAYUDARA: RAWAT SEBELUM TERLEWAT
KUBANG KERIAN, 27 Oktober 2015 – Orang ramai terutamanya wanita diseru untuk segera membuat pemeriksaan kesihatan untuk mengelakkan keadaan yang lebih sukar untuk dirawat.
Menurut pakat Radiologi yang juga Penyelaras Pusat Sumber Kanser Payudara Hospital USM Dr. Nik Munirah Nik Mahdi dalam ceramah sempena Hari Kesedaran Kanser di sini menyeru dan menasihatkan semua wanita sekiranya mempunyai tanda-tanda benjolan di kawasan payudara, segeralah ke hospital berdekatan untuk membuat pemeriksaan lanjut bak kata pepatah – mencegah lebih baik daripada mengubati.
Kanser payudara adalah pembunuh utama wanita Malaysia berumur 40 tahun ke atas, malah terdapat ramai yang telah melalui pengalaman menyedihkan apabila melihat kesengsaraan mereka yang disayangi menghidap penyakit ini dan kehilangan yang sentiasa diingati.
Malangnya masih ada yang memandang remeh ancaman maut penyakit ini dengan tidak melakukan apa-apa atau diselubungi bimbang dengan pembedahan walaupun disahkan menghidapinya, malah ada yang gusar untuk menjalani rawatan kemoterapi atau rendah diri jika payudara mereka terpaksa dibuang di samping terpaksa bersikap acuh tak acuh ini kerana takut ditinggalkan suami atau suami tidak ambil peduli.
Menurut Nik Munirah lagi, terdapat juga suami yang memaksa isteri menggunakan kaedah rawatan tradisional daripada mendapat rawatan di hospital dan kes sedemikian masih berlaku dan berterusan, lebih ketara di kawasan kampung dan pedalaman di samping ada yang tidak tahu di mana untuk mendapatkan bantuan rawatan terutamanya dalam kalangan yang tidak berpelajaran tinggi dan taraf sosioekonominya rendah.
"Ada pesakit yang menghilangkan diri selepas saya berbincang panjang lebar mengenai diagnosis penyakitnya, yang keluar daripada bilik terus hilang dan datang semula selepas enam bulan atau setahun yang sebenarnya kerugian masa enam bulan atau setahun untuk rawatan sedangkan tempoh itu amat penting untuk menyekat penularan sel kanser," kata Nik Munirah.
Tambahnya lagi, apabila datang balik, kansernya sudah berada di tahap kritikal, yang ke tulang atau paru-paru dan biar bagaimanapun menyesal sekali pun pesakit tidak boleh mendapat balik tempoh rawatan yang sudah disia-siakan.
Pesakit lazimnya akan dinasihatkan supaya hanya berbincang mengenai penyakit mereka serta pilihan rawatan yang disyorkan dengan Pakar Perubatan. Langkah demikian penting supaya pesakit tidak menjadi lebih keliru dengan pelbagai pihak memberi pandangan termasuk mendapatkan rawatan alternatif seperti rawatan tradisional. Pesakit yang disahkan menghidapi kanser Tahap Satu mempunyai peluang untuk mendapat hasil rawatan yang lebih baik jika berjumpa doktor lebih awal.
"Masyarakat Melayu selalunya mudah terpengaruh dengan dakwaan rawatan alternatif lebih-lebih lagi yang tidak memerlukan prosedur pembedahan sedangkan jika mereka tidak jelas tentang perkara seperti ini, langkah yang terbaik ialah berjumpa semula dengan doktor," katanya lagi.
Menurut Nik Munirah lagi, sekiranya mereka datang ketika sudah tidak terdaya menahan kesakitan yang sesetengahnya selepas mencuba misalnya 10 perubatan tradisional yang berbeza, kanser sudah berada di Tahap Empat yang bagi kami pakar perubatan tentulah amat mengecewakan kerana sudah agak sukar untuk dipulihkan.
Teks: Mohamad Iqmal Mathlan
Foto: Ihsan daripada UKAST
- Created on .
- Hits: 670