MERAIKAN KEPELBAGAIAN BUDAYA DALAM HARI ANTARABANGSA USM
PULAU PINANG, 28 Oktober 2015 – Pejabat Antarabangsa Universiti Sains Malaysia (IOUSM) mengadakan Hari Antarabangsa atau International Day bagi mempamerkan kebudayaan pelbagai negara untuk dirasai bersama-sama warga USM yang turut disertai oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal.
Acara yang dimulakan jam 10.00 pagi hingga 4.00 petang ini berjaya menarik lebih 500 orang pengunjung terutamanya dari dalam kalangan warga kampus.
Pengarah IOUSM, Profesor Madya Dr. Anees Janee Ali @ Hamid berkata, Hari Antarabangsa tahun ini yang dianjurkan bersama-sama para pelajar antarabangsa di USM mengetengahkan pelbagai makanan yang dihidangkan khas dari lebih kurang 10 negara antaranya Turki, Iran, Pakistan, Iraq dan lain-lain lagi termasuk Malaysia.
“Melalui acara ini kita dapat merapatkan hubungan pelajar dari dalam dan luar negara yang berada di kampus untuk bersama-sama meraikan kepelbagaian budaya serta merapatkan hubungan dan pengalaman pelbagai kelompok komuniti tanpa mengira perbezaan latar belakang bagi merasai kepelbagaian makanan negara masing-masing,” kata Anees Janee.
Pihaknya berharap agar program seperti ini dapat mengumpul para pelajar antarabangsa untuk mempamerkan kebudayaan serta warisan negara masing-masing kepada masyarakat.
Pengarah Projek Hari Antarabangsa 2015, Oday Qusay Abdul Qader, 36, berkata ini merupakan penganjuran tahun kedua bagi program ini yang diselaraskan oleh pelajar-pelajar antarabangsa dari pelbagai negara yang sedang melanjutkan pengajian di USM ini.
“Selain dari menjual makanan yang harganya amatlah murah dan berpatutan berdasarkan kuantitinya, juga disediakan seksyen permainan tradisional dan antarabangsa untuk para pengunjung dengan permainan karom, congkak, catur dan lain-lain yang boleh dicuba,” kata pelajar Ijazah Kedoktoran bidang Rekabentuk Dalaman Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan itu.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pelajar Pasca Siswazah (Postgraduate Student Association, PSA), Saiful Yusoff pula berkata, antara persatuan yang turut serta menggembleng tenaga dalam penganjuran program hari ini adalah PSA, Buddies USM, Golden Key dan Pelajar Tanpa Asrama (PETAS).
“Program ini juga adalah antara pra-permulaan kepada penganjuran Minggu Antarabangsa atau International Week yang akan diadakan pada Disember ini,” kata Saiful.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
Foto: Muhammad Firdaus Khiruddin
- Created on .
- Hits: 819