SENTIASA POSITIF KEMBALIKAN SEMANGAT BEKAS PESAKIT BARAH PAYUDARA
KUBANG KERIAN, 27 Oktober 2015 – Rata-rata wanita di seluruh dunia berisiko menghidap penyakit barah payudara yang menjadi pembunuh utama dan merupakan barah yang terbanyak menyerang wanita di Malaysia tanpa mengira usia, misalnya pernah dilaporkan yang pesakit barah payudara termuda dikesan di negeri Kelantan pada tahun 2011 adalah kanak-kanak perempuan berumur 5 tahun.
Biar pun menyedari hakikat tersebut, namun ramai di kalangan wanita yang tidak mahu mengambil inisiatif untuk membuat pemeriksaan awal malah terdapat wanita yang telah disahkan menghidap barah payudara lebih suka memilih untuk mendapatkan rawatan secara alternatif atau rawatan kampung berbanding rawatan perubatan di hospital.
Sesi perkongsian pengalaman bersama bekas pesakit barah payudara dalam Seminar ‘October Awareness Of Breast Cancer 2015’ Serangan Tanpa Had Umur Dan Jantina Kesan Sebelum Sesal anjuran Jabatan Radiologi HUSM yang dihadiri oleh 200 orang peserta mendedahkan pengalaman mereka yang pernah melaluinya.
Antara faktor penyebab barah payudara adalah kemungkinan sejarah ahli keluarga yang pernah mengidap, akil baligh awal, putus haid yang lewat, kandungan pertama pada umur yang lewat, tidak pernah mengandung, pengambilan alkohol, penggunaan estrogen, pendedahan kepada radiasi yang tinggi serta penggunaan tuala wanita yang kotor dan bertoksik.
Bekas pesakit barah payudara, Siti Noor Yaakob, 55, dari Pasir Mas, Kelantan menceritakan pengalamannya apabila disahkan menghidap barah payudara pada usia 45 tahun.
Siti Noor yang mendapat inspirasi daripada Allahyarhamah Tun Endon Mahmood Ambak, isteri Mantan Perdana Menteri yang juga penghidap barah payudara menasihatkan kaum wanita agar segera mendapatkan rawatan jika ada perbezaan pada tubuh badan seperti yang masih diingati kata-kata allahyarhamah dalam sebuah rancangan televisyen popular yang membuatkannya mengambil keputusan untuk mendapatkan rawatan segera setelah mendapati terdapat ketulan pada payudara.
"Setelah membuat pemeriksaan, saya disahkan menghidap barah payudara dan dinasihatkan untuk membuat pembedahan yang walau pun agak mengejutkan namun perkhabaran tersebut tidak memberi tekanan sebaliknya menerimanya dengan berlapang dada dan bersetuju untuk membuat pembedahan segera sebagaimana yang disarankan oleh doktor," kata Siti Noor.
Mengimbas kenangan 10 tahun yang lalu, dia kemudiannya memberitahu suami serta perlu menjalani pembedahan segera dan bersyukur kerana suami dan empat orang anak yang kesemuanya laki-laki memahami serta memberikan semangat untuk membuat pembedahan walaupun tidak dipersetujui dan ditentang oleh ibunya yang menyuruh mendapatkan rawatan kampung.
“Selepas pembedahan, saya menjalani rawatan kimoterapi sebanyak enam kali dan radioterapi 30 kali dan dengan kekuatan semangat yang ada dalam diri membuatkan saya dapat meneruskan kehidupan seperti wanita lain dan kini aktif sebagai sukarelawan di Pusat Kanser Payudara Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM),” ceritanya lagi.
Namun pengalaman yang berbeza dilalui oleh ibu tunggal kepada lima orang anak, Rafidah Abdul Razak, 42, dari Kuala Krai, Kelantan yang disahkan mengidap barah payudara peringkat kedua pada usia 39 tahun.
Tanpa suami di sisi yang meninggal dunia pada tahun 2009 akibat penyakit Leukemia, Rafidah tetap kuat dan tabah dengan sokongan anak-anak.
“Saya dipandang serong oleh orang kampung kerana lebih percayakan rawatan di hospital berbanding rawatan secara kampung atau bomoh namun sokongan daripada emak dan anak-anak membuatkan saya nekad dan alhamdulillah keputusan itu tepat kerana sekarang saya dapat meneruskan kelangsungan hidup seperti wanita lain,” ujar Rafidah.
Menurutnya, tahun ini, sekali lagi diuji apabila anak sulungnya disahkan menghidap penyakit Thalasemia serta akan menjalani pembedahan membuang ketulan di payudara pada hujung bulan November nanti.
“Siapa yang tidak sedih apabila dugaan datang bertimpa namun saya kuatkan semangat kerana anak-anak dan sentiasa memberikan sokongan kepada anak sulung saya yang kita perlu berfikiran positif agar hidup sentiasa gembira kerana setiap kesakitan pasti ada kesembuhan dengan izin Allah,” tambahnya lagi.
Wajah tabah dua orang wanita ini memberikan inspirasi kepada mereka yang dibelenggu ketakutan terhadap penyakit barah payudara untuk berdiri dengan berani dan bersikap positif menghadapi masa hadapan sebagai sumber kekuatan utama dan untuk semua orang lebih prihatin terhadap kesihatan diri.
Tek: Lailatul Hafiza Abdul Rashid
Foto: Ihsan Jurufoto UKAST
- Created on .
- Hits: 1610