USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM SEDIA HADAPI PENGURANGAN BAJET, TINGKATKAN PRODUKTIVITI, KREATIVITI DAN PENJIMATAN

 DSC8012sdfg

PULAU PINANG, 28 Oktober 2015 - Universiti Sains Malaysia (USM) merancang dan melaksanakan langkah-langkah yang perlu dalam menghadapi pengurangan dalam Bajet 2016 termasuklah melalui langkah-langkah penjimatan merentasi seluruh warganya termasuk pelajar, proses pendidikan yang berterusan, meningkatkan produktiviti dan berusaha menjana pendapatan melalui pelbagai usaha yang bersesuaian.

Menurut Naib Canselor, Profesor Dato' Dr. Omar Osman, USM telah mengambil langkah-langkah penjimatan dan berusaha untuk menjana pendapatan melalui pelbagai kaedah yang perlu sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan usaha ini akan diperkasakan lagi secara berterusan tanpa menaikkan yuran pengajian ijazah pertama.

"Orang ramai terutamanya pelajar tidak perlu risau dengan khabar angin tentang kenaikan yuran pengajian ijazah pertama yang tidak akan dinaikkan," kata Omar.

Jelasnya, USM telah melaksanakan program keberkesanan rasionalisasi kos perbelanjaan universiti secara berperingkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini dalam usaha meningkatkan produktvitinya.

"Tumpuan utama kita juga ialah meningkatkan pendapatan melalui kerjasama dan kolaborasi penyelidikan dengan agensi luar terutamanya di peringkat antarabangsa, memperkasakan usaha pengkomersilan produk penyelidikan dan inovasi serta menggalakkan seluruh warga berusaha kreatif untuk berbuat demikian di samping sentiasa mementingkan penjimatan dan mengelakkan pembaziran," kata Omar lagi.

Misalnya, penjimatan tenaga dan utiliti seperti air, elektrik, komunikasi dan sebagainya, perbelanjaan perjalanan dan penerbangan yang lebih murah dengan mengutamakan tempahan melalui atas talian (online), pemotongan kos kerja lebih masa, mementingkan pengurusan yang bersifat lestari (pengurangan penggunaan kertas, mesyuarat secara maya mahu pun penggunaan elektronik seperti emel sebagai kaedah perhubungan), mengadakan kursus dan program latihan di dalam kampus dan pengurusan procurement yang lebih efektif.

"USM juga akan berusaha melipatgandakan usaha penjanaan kewangan melalui penambahan pelajar antarabangsa dan penawaran program secara pesisir (off-shore) di luar negara, penambahbaikan polisi pelaburan dengan berusaha memaksimumkan keuntungan dan risiko rendah, meningkatkan pendapatan melalui anak syarikat Usains Holding dan mengoptimumkan penggunaan fasiliti yang ada di dalam kampus-kampus USM malah juga berusaha meningkatkan endowment dan sumbangan melalui Yayasan USM," tambah Naib Canselor lagi.

Pada masa ini USM menawarkan program Sains Perubatan di India dan penawaran secara pesisir program pengajian jarak jauh di Indonesia.

"Universiti juga turut mengadakan advokasi kelestarian termasuk kewangan melalui penjimatan dalam penggunaan tenaga dan fasiliti yang menekankan kepada penggunaan tenaga yang rendah (low energy) melalui pelbagai mekanisme secara berterusan," kata Omar lagi.

Teks: Mohamad Abdullah 

  • Created on .
  • Hits: 1072

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024