SENAMROBIK PUPUK AMALAN GAYA HIDUP SIHAT
PULAU PINANG, 28 Oktober 2015 – Kluster Kesihatan Kampus Sejahtera Universiti Sains Malaysia (USM) terus memupuk budaya bersenam dalam kalangan para pelajar USM dengan mengadakan senamrobik yang bertemakan “Kebaikan Kepada Kesihatan Anda”.
Menurut Pegawai Penyelidik Sosial Sekretariat Kampus Sejahtera, Abdul Syafiq Ramlan, senamrobik anjuran Kampus Sejahtera ini dikelolakan sepenuhnya oleh sukarelawan Kampus Sejahtera dari kalangan pelajar yang berada di bawah naungan Sekretariat Kampus Sejahtera, Pejabat Naib Canselor.
“Semua peserta adalah sukarelawan yang berkongsi aspirasi yang sama iaitu memupuk budaya gaya hidup yang lestari dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat,” katanya.
Tambahnya, acara ini juga merupakan salah satu langkah untuk mengumpulkan serta menggalakkan para pelajar menghayati kelestarian kesihatan dalam kehidupan seharian mereka.
“Kesemua 6 kluster yang ditekankan dalam Kampus Sejahtera daripada elemen air, tenaga, pengurusan sisa, biodiversiti, agrokultur dan kesihatan merancang mengadakan pelbagai program yang berfokus kepada elemen masing-masing secara tidak langsung ia dapat meneruskan agenda kelestarian universiti,” katanya lagi.
Tambahnya lagi, Kampus Sejahtera melalui para sukarelawan akan terus komited bersama-sama universiti untuk meneruskan agenda kelestarian universiti melalui pelbagai program secara berkala yang boleh dirujuk di Facebook Kampus Sejahtera USM.
Lebih 400 orang sukarelawan dari dalam kalangan pelajar berbilang kaum menyertai senamrobik yang diadakan di Dewan Utama Pelajar USM ini.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
Foto: Sekretariat Kampus Sejahtera USM
- Created on .
- Hits: 905