‘ZERO WASTE' DIDIK WARGA KAMPUS CARA PENGURUSAN SISA
PULAU PINANG, 22 Oktober 2015 – Konsep sisa sifar (Zero Waste) menjadi matlamat Universiti Sains Malaysia (USM) untuk mendidik dan mengajak warga USM mencontohi kitar semula yang membolehkan semua bahan buangan sebagai sumber untuk kegunaan lain.
Menurut Timbalan Dekan (Penyelidikan) Pusat Pengajian Teknologi Industri, USM Profesor Dr. Norli Ismail berkata, pelaksanaan konsep ini bermakna kita akan mengurangkan pembuangan sisa ke alam semulajadi dan mampu diguna semula sebagai sumber yang lain.
“Di USM, kluster pengurusan sisa merupakan salah satu agenda kelestarian universiti yang menjadi hasrat Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman untuk melihat USM menjadi universiti perintis kepada universiti awam yang lain dalam mengekalkan kelestariannya,” katanya yang juga penasihat bagi projek Zero Waste.
Melalui kluster ini, tiga projek utama telah dijalankan sejak tahun 2013 lagi melalui sukarelawan Kampus Sejahtera USM sebagai penggerak utamanya melalui projek ‘Eco Garden’, pengkomposan dan biogas.
“Ketiga-tiga projek ini dijalankan sepenuhnya oleh sukarelawan Kampus Sejahtera USM yang turut bekerjasama dengan komuniti setempat dalam mendidik dan menggalakkan masyarakat supaya menanam sikap kelestarian dengan cara menguruskan sisa secara efektif,” jelasnya lagi.
Bercakap dalam siri syarahan anjuran Kampus Sejahtera USM yang bertajuk ‘Zero Waste – The New Culture of Modern Lifestyle’ di sini malam tadi, Norli berkata, projek ini bermula di kampus induk dengan melibatkan kafeteria-kafeteria dengan pihak sukarelawan mengumpulkan sisa-sisa yang dihasilkan di kafeteria di dalam reaktor biogas yang terletak di Desasiswa Aman Damai dan selepas dua bulan, biogas akan terhasil dan dapat digunakan semula sebagai gas untuk memasak.
“Sukarelawan Kampus Sejahtera turut menjalankan khidmat masyarakat bersama-sama penduduk kampung di Homestay Sg. Chenaam di Nibong Tebal, Pulau Pinang dengan menunjukkan kepada penduduk setempat penggunaan biogas secara lestari menggantikan gas memasak malah pada masa yang akan dating, biogas ini mampu dijadikan bahan utama dalam menjana elektrik kepada masyarakat melalui teknologi yang canggih,” katanya lagi.
Selain itu, Norli menambah, pendidikan pengurusan sisa ini juga diterapkan dalam kalangan pelajar melalui kolaborasi bersama-sama sekolah di sekitar negeri Pulau Pinang dalam mendidik mereka menghasilkan baja kompos daripada sisa apatah lagi di USM terdapat empat sistem pengkomposan yang hasilnya digunapakai kembali sebagai baja tanaman di 'Eco Garden'.
“Kami turut mendidik pelajar-pelajar sekolah ini melalui cara penghasilan baja kompos daripada sisa walaupun bukan semua sisa adalah sesuai, kita menggunakan sisa organik terdiri daripada saki baki makanan dan sayuran tidak termasuk tulang ikan, ayam kerana tidak sesuai dengan kaedah yang digunakan sekarang dan selepas dua bulan, baja kompos dapat dihasilkan dan diguna semula sebagai baja tanaman,” kata Norli ketika menyampaikan siri syarahan umum di hadapan 700 orang warga USM. Syarahan ini anjuran Kampus Sejahtera USM bertajuk ‘Zero Waste – The New Culture of Modern Lifestyle’ di sini, malam tadi.
Harapannya ialah jika sumber diuruskan dengan baik dan berkesan serta menggunakan teknologi yang bersesuaian, sudah pasti produk dan perkhidmatan yang dihasilkan adalah bermutu dan mesra alam dan mampu menjadikan USM sebagai satu universiti 'Zero Waste'.
Teks: Syuhada Abd Aziz
Foto: Dzulfikar Azmi Muhamad Aripin @ Isa / Profesor Dr Norli Ismail
- Created on .
- Hits: 1771