USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PASUKAN DEBAT KAMPUS KESIHATAN USM RANGKUL JOHAN DAN TEMPAT KETIGA DALAM PERTANDINGAN DEBAT PIALA DYMM SULTAN ZAINAL ABIDIN KALI KE-15

Debat DYMM Sultan Zainal Abidin 2

KUBANG KERIAN, 27 Oktober 2015 – Pasukan Debat Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya merangkul Johan dan tempat Ketiga dalam Pertandingan Debat Piala Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Zainal Abidin Kali Ke-15 yang berlangsung di Universiti Teknologi Mara, Dungun, Terengganu bermula 23 Oktober lalu dan berakhir semalam.

Pasukan Debat Kampus Kesihatan USM menghantar tiga penyertaan iaitu USM A, USM B dan USM C yang diwakili oleh enam orang pelajar iaitu Annur Faleyana Haji Najamuddin, Muhammad Syazwan Sharif (USM A), Muhammad Mujahid Mohd Amin, Muhamad Aqil Farhan Azman (USM B), Lingeshwaran A/L Muniandy dan Darshnee A/P Subramanian (USM C).

7857

Ketua Pasukan Debat Kampus Kesihatan USM, Mohammad Aizat Taib berkata, pasukan USM C berjaya merangkul Johan dan membawa pulang Piala Pusingan DYMM Sultan Zainal Abidin, wang tunai RM1,000, Piala Pemenang dan Sijil Kemenangan selepas menewaskan Universiti Teknologi Mara, Sarawak yang mendapat Naib Johan.

“Kumpulan USM A pula berjaya meraih tempat ketiga dengan membawa pulang Piala Pemenang dan Sijil Kemenangan manakala Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra di tempat keempat.

“Selain itu, salah seorang pendebat dari Kumpulan USM B, Muhammad Mujahid juga tersenarai sebagai 10 pembahas terbaik pertandingan itu,” ujar Mohammad Aizat.

Debat DYMM Sultan Zainal Abidin 5

Tambah Mohammad Aizat, sebelum ini, USM A berada di tangga ke-8 setelah enam pusingan, USM C berada di tangga ke-12 manakala USM B pula menduduki tangga ke-20 daripada 32 pasukan yang bertanding.

“Berkat usaha dan kerja keras semua peserta, pasukan USM A dan USM C berjaya melepasi pusingan suku akhir dan mara ke separuh akhir sebelum menempah tiket ke pentas akhir debat ala Parlimen British ini.

 

“Kejayaan ini amat bermakna buat kami warga USM kerana ini kali pertama kami berjaya menjulang Piala Pusingan Debat DYMM Sultan Zainal Abidin ” katanya lagi.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel

Foto: Sekretariat Debat & Pidato Kampus Kesihatan USM

  • Created on .
  • Hits: 1138

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024