KOMUNIKASI@USM-YOKUK BANTU OKU
PULAU PINANG, 26 Oktober 2015 – Pusat Pengajian Komunikasi (PPK) Universiti Sains Malaysia (USM) bekerjasama dengan Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK) menganjurkan Projek Komunikasi@USM-YOKUK dengan forum dan bengkel yang akan diadakan di USM Pulau Pinang pada 4 dan 5 Disember 2015 dengan kemuncaknya diadakan majlis Makan Malam Amal yang akan dihadiri oleh Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra, di Kuala Lumpur Golf Club.
Pada masa ini, jerayawara (roadshow) untuk memperkenalkan YOKUK kepada masyarakat diadakan dari 27 Oktober sehingga 30 November di sekitar negeri Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Kelantan dan akan diikuti dengan majlis perasmian oleh Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Sabariah Hassan di YOKUK Centre, Kelantan.
Dekan PPK USM, Profesor Madya Dr. Jamilah Binti Ahmad berkata, objektif projek ini adalah untuk membantu orang kurang upaya (OKU) dan memperkenalkan YOKUK kepada masyarakat selain untuk mendapatkan sumber kewangan yang berterusan kepada YOKUK.
“Seperti yang kita tahu, kebanyakan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), operasi mereka mendapatkan kewangan dalam skala yang besar tetapi YOKUK di Kelantan saya rasakan sedikit terpinggir namun melihat keadaan mereka yang beriltizam tinggi untuk menawarkan perkhidmatan kesihatan dan terapi kepada golongan OKU memberikan inspirasi yang besar untuk membantu YOKUK,” kata Jamilah.
“Kepakaran yang ada dalam PPK difikirkan dapat membantu YOKUK mengumpulkan dana demi kelangsungan YOKUK dan membantu OKU,” tambahnya lagi.
Selain daripada itu, Jamilah berkata, projek komunikasi@USM-YOKUK ini juga dijalankan berdasarkan pendidikan berasaskan hasil (OBE) melalui pembelajaran pelajar tahun akhir Komunikasi Pemujukan bersama penasihat oleh enam orang pensyarah PPK serta pakar perunding luar.
“Antara medium yang digunakan bagi mengumpulkan dana ini ialah melalui jerayawara memperkenalkan YOKUK kepada masyarakat dan badan korporat di samping mengadakan aktiviti permainan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat dan melalui projek ini juga, PPK cuba membantu YOKUK mendapatkan dana secara berterusan daripada badan-badan korporat di Malaysia dengan menunjukkan bagaimana peranan YOKUK membantu OKU,” jelasnya lagi.
YOKUK ditubuhkan 17 tahun lalu berfungsi memberikan perkhidmatan utama kepada OKU melalui kebajikan, pemulihan, terapi, pendidikan dan penjagaan paletif. Sehingga kini, 4,000 orang OKU telah berdaftar dari seluruh daerah di negeri Kelantan.
Pengasasnya, Datin Suliana Shamsuddin Alias turut mengalu-alunya kerjasama daripada PPK dalam menolong pihak YOKUK bagi mendapatkan dana untuk menampung perbelanjaan menguruskan OKU ini.
“Sebelum ini, Hospital USM di Kubang Kerian banyak membantu dari segi memberi perkhidmatan kepakaran mereka kepada pesakit-pesakit OKU ini, tetapi projek kali ini membawa kelainan apabila PPK tampil membantu YOKUK dari segi memungut dana dalam menyelenggara Yayasan ini serta memperkenalkan fungsi YOKUK kepada masyarakat,” tambahnya.
Jelasnya lagi, YOKUK menyediakan perkhidmatan pengangkutan untuk membawa mereka ke hospital untuk mendapatkan rawatan selain menyediakan terapi seperti ‘riding’ yang menggunakan kuda khususnya kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah ‘Cerebral palsy’ dan ‘Down Sindrom’ yang dapat membantu membetulkan postur badan mereka.
Sementara itu, Pengarah Projek Komunikasi @USM- YOKUK, Gwen Lim, 23, berkata pengalaman mengendalikan satu projek yang besar ini memberi makna kepadanya dalam menghadapi dunia kerjaya di masa hadapan sebagai tanggungjawab bersama untuk membantu golongan yang tidak bernasib baik.
“Saya juga dapat memahami kehidupan golongan OKU ini untuk lebih menghargai apa yang ada dan berharap agar masyarakat peka terhadap kekurangan golongan ini dengan membantu mereka walaupun dengan usaha yang sedikit,” tambahnya.
Rakannya, Chooi Keng Leong, 23, menambah, projek Komunikasi@USM-YOKUK ini mengajarnya untuk bekerja dalam satu pasukan yang besar bersama rakan-rakan yang lain.
“Jika sebelum ini kami mengendalikan sesuatu program dalam kumpulan yang kecil, namun kerjasama yang baik daripada ahli pasukan membolehkan kami pelajar komunikasi menganjurkan program seumpama ini,” jelasnya.
Teks: Syuhada Abd Aziz
Foto: Muhammad Firdaus Khiruddin
- Created on .
- Hits: 1315