USM RAKAN PINTAR CIDB
PULAU PINANG, 27 Oktober 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) kini adalah rakan pintar Construction Industry Development Board (CIDB) untuk memberi sokongan dan kerjasama bagi pelaksanaan Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) Malaysia sempena Majlis Penandatangan Akujanji CITP bersama Penggiat Industri di Sime Darby Convention Centre kelmarin.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman menjelaskan bahawa USM dan CIDB sudah bersetuju untuk menterai perjanjian persefahaman (MoU) dalam bidang Infrastruktur Mapan (Sustainable Infrastructure).
“Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam bersama Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (HBP), Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC) dan Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (GSB) adalah penyumbang asal dan utama untuk usaha ini,” tambahnya.
Omar juga menggalakkan lebih banyak lagi penglibatan daripada seluruh universiti kerana USM mampu menyumbang dengan lebih berkesan untuk memberikan impak yang lebih hebat bagi tujuan seperti ini.
Sementara itu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof pula berkata, prestasi serta imej industri pembinaan akan bertambah lebih baik jika pihak yang terlibat terus meningkatkan peranan dan perkhidmatan mereka.
“Peningkatan dari segi imej dan pencapaian di dalam sektor pembinaan pastinya akan dapat dilaksanakan dengan adanya komitmen daripada setiap individu terhadap tugas dan peranan masing-masing,” ulas beliau ketika majlis ini.
Tambah Fadillah lagi, pihak kerajaan juga bercita-cita untuk melihat kecemerlangan industri pembinaan dicapai bukan hanya dalam negara sahaja akan tetapi di peringkat antarabangsa, dengan mempunyai tenaga lebih 68 ribu kontraktor berdaftar, lebih 1.2 juta pekerja binaan berdaftar, beribu jurutera, arkitek, juru ukur bahan, pemaju, dan pengeluar bahan binaan.
Menurut Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam USM, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, CITP adalah usaha CIDB untuk memastikan industri pembinaan di Malaysia dilonjakkan agar lebih berdaya saing, berkualiti, dan mesra alam.
“Ia mampu menyokong usaha negara untuk menjadi lebih kompetitif pada masa akan datang serta CITP menyasarkan empat objektif melalui empat teras iaitu peningkatan profesionalisme, kualiti dan keselamatan, mampan dan mesra alam, peningkatan produktiviti dan berdaya saing pada peringkat antarabangsa,” katanya.
Majlis di Sime Darby Convention Centre ini adalah untuk meraikan semua rakan CIDB yang telah bersetuju untuk bersama dengan CIDB untuk melaksanakan aktiviti yang boleh membantu mencapai objektif CITP dan daripada 24 rakan CIDB ini, tiga daripadanya ialah universiti awam iaitu USM, UKM dan UPM.
Teks : Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 847