USM PERKUKUH USAHA INOVASI DAN PENGKOMERSILAN
PULAU PINANG, 26 Oktober 2015 – Pejabat Inovasi dan Pengkomersilan (ICO) Universiti Sains Malaysia (USM) terus berusaha memperkukuhkan usaha kerjasama inovasi dan pengkomersilan produk penyelidikan yang ada.
Terbaharu ialah dengan melalui My Innovation Hub (MIH) yang menjadi platform penghubung antarabangsa kepada pihak akademia, kerajaan, industri dan komuniti.
Pasukan MIH mengunjungi ICO baru-baru ini untuk berbincang dan mengukuhkan lagi kerjasama untuk tujuan tersebut.
Pengarah ICO, Profesor Dr. Rahmat Awang menjelaskan kepada MIH bahawa pihaknya adalah perantara di antara para penyelidik USM dalam usaha mengkomersilkan hasil inovasi USM ke pasaran.“Dalam lawatan ini, ICO telah mencadangkan beberapa projek seperti teknologi berkaitan Carbon Nanotube, bioplastik, kelapa sawit dan rawatan sisa air sebagai antara bidang yang berpotensi dalam kerjasama yang ingin dijalinkan ini,” kata Rahmat.
Pihaknya berharap MIH dapat bersama-sama USM untuk meneroka dan membincangkan isu-isu berkaitan inovasi dan pengkomersilan pada masa hadapan.
Sementara itu, Ketua MIH, Vincent Wong Wai Sang menerangkan tentang penubuhan MIH yang disokong oleh Kementerian Pendidikan Tinggi untuk mewujudkan Ekosistem Inovasi yang mampu menghubungkan ahli akademik dengan kerajaan, sektor swasta dan komuniti seiring dengan Lonjakan Ketujuh Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) - PPPM (PT) 2015-2025 untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara selari dengan tuntutan perubahan teknologi.
“MIH ditubuhkan untuk menyediakan platform penghubung antarabangsa kepada pihak akademia, kerajaan, industri dan komuniti bagi tujuan pembangunan inovasi baharu atau pengintegrasian inovasi sedia ada kepada satu bentuk sistem yang memenuhi keperluan pasaran selain berusaha mengkomersialkan dan memasarkan inovasi yang ada, untuk menjadikan Malaysia sebagai Hub Baru dalam Inovasi bagi meningkatkan kedudukan negara dalam Global Innovation Index dan juga indeks lain yang seumpamanya,” katanya ketika lawatan ini.
Tambah Vincent, misi MIH adalah untuk mengintegrasikan semua pasukan penyelidikan dari universiti dan pusat pengajian tinggi dengan memadankan mereka dengan pasukan penyelidikan dari Institut Penyelidikan Awam (Public Research Institute, PRI) serta mewujudkan kerjasama dengan universiti dan pusat penyelidikan antarabangsa untuk melahirkan inovasi, teknologi dan perkhidmatan yang canggih dan seterusnya mengkomersilkan hasil tersebut untuk mewujudkan negara dan dunia yang lebih baik.
Yang turut hadir semasa kunjungan tersebut adalah Pengarah Bahagian Hubungan Industri Kementerian Pendidikan Tinggi, Profesor Madya Dr. Arham Abdullah dan Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Hubungan Industri Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Mohd Yazid Sairi.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
Foto: Hartini Alias (ICO)
- Created on .
- Hits: 1259