PELAJAR USM FINALIS CABARAN NHUP 2015
PULAU PINANG, 26 Oktober 2015 – Kumpulan pelajar dari Universiti Sains Malaysia (USM) adalah antara yang terpilih menghadapi cabaran terakhir Nescafe Hub University Program 2015 (NHUP15) bersama-sama mereka yang mewakili Universiti Utara Malaysia dan Universiti Putra Malaysia.
Menurut ketua kumpulan finalis pertandingan NHUP15, Goh Zhen Teong, 22, pertandingan yang diadakan oleh pihak Nestle Malaysia ini bertujuan mencungkil bakat keusahawanan dalam kalangan pelajar.
“Kami menghantar kertas kerja kepada pihak Nestle pada Julai yang lepas dan terpilih dalam kalangan pelajar dari tiga buah universiti lain di Malaysia selepas berjaya membentangkan kertas kerja di hadapan pengurusan tertinggi Nestle Malaysia,” kata pelajar tahun tiga dari Pusat Pengajian Pengurusan ini.
Tambahnya lagi, selain daripada jumlah kuantiti jualan, tahap organisasi yang diuruskan serta ketepatan masa turut diambil kira dalam pertandingan ini.
Sementara itu, menurut Farah Nur Fathin Ja’afar, 21, pertandingan ini amat berkait rapat dengan pembelajaran mereka dalam bidang pengurusan terutama dalam bidang pemasaran.
“Pertandingan ini bukanlah mengajar kami tentang penjualan kopi semata-mata, tetapi penyediakan kertas kerja dan semangat berpasukan amatlah dititik beratkan dalam kalangan ahli kumpulan sehingga kami berjaya menjadi finalis pertandingan ini,” katanya.
Bermula dari 19 Oktober sehingga 30 Oktober 2015 sebuah booth Nescafe ditempatkan di Foyer Dewan Kuliah U USM yang dikendalikan sepenuhnya oleh lapan orang pelajar USM finalis pertandingan tersebut masing-masing dari Pusat Pengajian Pengurusan dan Pusat Pengajian Komunikasi.
Penempatan booth Nescafe ini adalah untuk memenuhi syarat pertandingan peringkat akhir iaitu pelajar-pelajar ini dikehendaki membuat jualan sebanyak 15,000 cawan minuman selama dua minggu.
Pertandingan NHUP15 ini menawarkan hadiah utama wang tunai sebanyak RM5,000 dan produk Nestle selama setahun dan berpeluang menjalani latihan industri di Nestle Malaysia.
Sokongan berbentuk belian dari para pelajar dan staf amat dialu-alukan. Terdapat pelbagai variasi Nescafe ditawarkan dan harga bagi secawan Nescafe panas ialah RM0.50 manakala sejuk RM1.00. Jualan Nescafe telah mula beroperasi pada 19 Oktober dari jam 9.00 pagi sehingga 5.00 petang.
Teks: Syuhada Abd Aziz
Foto: Muhammad Firdaus Khiruddin
- Created on .
- Hits: 804