USM WUJUD BANK IDEA, REPOSITORI PEMIKIRAN STRATEGIK
PULAU PINANG, 26 Oktober 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) menubuhkan Bank Idea (USM Idea Bank) bagi memusatkan idea-idea strategik warganya untuk menambahkan input dalam membantu memacu tadbir urus lebih cemerlang.
USM Idea Bank adalah aplikasi mudah alih sama seperti laman sosial lain yang membolehkan pengguna android dan IOS mengakses masuk serta berkongsi idea secara maya, selain berinteraksi dalam membangunkan Universiti.
Naib Canselornya, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, idea penubuhan USM Idea Bank adalah disebabkan wujudnya keperluan untuk memastikan idea kreatif dan pintar oleh warganya dapat disimpan di satu lokasi yang strategik.
Katanya, USM menghargai idea dan kreativiti pemikiran setiap dari lapisan warganya dan akan memperhalusi idea-idea yang menarik, relevan dan diyakini dapat menyuntik input untuk sama-sama memacu USM ke arah lebih cemerlang dan terbilang.
"Dengan adanya USM Idea Bank ini, diharapkan warga USM dapat melibatkan diri secara aktif dalam membuahkan idea-idea bernas dan berkualiti. Ini adalah satu langkah yang baik untuk kita terus menyumbang kepada institusi," katanya lagi ketika menemui pasukan kerja yang menjayakan penubuhan Bank Idea USM ini baru-baru ini.
Sementara itu, antara ahli rintis dalam penubuhan USM Idea Bank, Profesor Ahmad Farhan Mohd. Sadullah pula berkata, aplikasi USM Idea Bank ini adalah yang pertama dilaksanakan di USM.
Katanya, repositori berbentuk interaktif ini amat membantu USM dalam mendapatkan idea segar dan memberi ruang untuk warga USM menyerlahkan kreativiti pemikiran khususnya dalam kalangan pemikir muda.
“Adakalanya idea yang dilontarkan khususnya dalam bengkel, ucapan, mesyuarat, kuliah dan sebagainya sangat mengagumkan dan ia perlu ditempatkan dalam satu platform supaya tidak dilupakan begitu sahaja.
“USM Idea Bank ini boleh diibaratkan sebagai home of worthy ideas dan ia perlu kekal lestari untuk memastikan kelangsungannya,’’ katanya sambil berharap pasukan USM Idea Bank ini akan berkembang dari semasa ke semasa.
Yang turut hadir ke Majlis Pelancaran USM Idea Bank ini ialah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, ketua-ketua jabatan dan sebagainya.
Teks: Marziana Mohd Alias
- Created on .
- Hits: 1183