BERUBAH ATAU TUNGGU MUSIBAH
KUBANG KERIAN, 25 Oktober 2015 – Negara kita pernah dilanda beberapa musibah atau bencana seperti tsunami beberapa tahun yang lalu, bah kuning pada penghujung tahun 2014 yang melanda Kelantan dan pada tahun ini gempa bumi di Sabah di samping kemarau panjang dan ribut taufan di beberapa kawasan. Yang terbaharu ialah masalah jerebu yang melanda seluruh negara mengakibatkan ribuan sekolah terpaksa ditutup.
Pengarah Pusat Islam, Universiti Sains Malaysia (USM), Dato’ Profesor Dr Muhammad Idiris Saleh berkata, dalam kehidupan seharian, hampir semua orang mempunyai pengalaman ditimpa musibah seperti menghidap penyakit kronik , ditimpa kemalangan, kecederaan, kecacatan anggota, kematian orang tersayang, menjadi mangsa kecurian, mangsa ragut, kekurangan wang, kesulitan hidup, gagal dalam peperiksaan, mempunyai ahli keluarga bermasalah, ahli keluarga atau diri sendiri disaman atau ditangkap polis dan sebagainya.
“Semua bencana atau musibah yang menimpa manusia adalah dengan kehendak Allah dan disebalik musibah tersebut mempunyai hikmah atau pengajaran tertentu yang sepatutnya menjadi tanggungjawab kita untuk mengkaji dan seterusnya berusaha untuk mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelak bencana atau musibah tersebut,” ujarnya di hadapan kira-kira 600 orang yang terdiri dari pelajar-pelajar sekolah dan agensi luar jajahan Kota Bharu dalam Majlis Sambutan Maal Hijrah 1437H Peringkat Kampus Kesihatan, USM.
Tambah Idiris, di antara sebab terjadinya sesuatu musibah itu ialah disebabkan oleh tangan-tangan kita atau tangan manusia itu sendiri sebagaimana Firman Allah SWT bermaksud : Dan apa saja musibah yang menimpa kamu, maka adalah disebabkan oleh perbuatan tangan kamu sendiri, dan Allah memaafkan sebagian besar dari dosa-dosamu.” Surah As Syura : Ayat 30.
“Sempena Sambutan Maal Hijrah ini, saya ingin mengajak diri saya, para hadirin dan seluruh masyarakat untuk mengkaji kesalahan tangan-tangan kita, seterusnya menginsafi dan membetulkan kesilapan tersebut, dalam erti kata lain berhijrahlah dari jahil kepada berilmu, dari batil kepada yang haq, dari malas kepada berusaha dan dari buruk tingkahlaku kepada baik budi pekerti agar kita dilindungi atau tercegah daripada musibah pada masa hadapan,” tegas Idiris lagi.
Teks/Foto : Mohamad Hairol Rasli
- Created on .
- Hits: 767