SEMINAR PEMBUDAYAAN KEUSAHAWANAN BERI PENDEDAHAN PELAJAR MENJADI USAHAWAN
KUBANG KERIAN, 24 Oktober – Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (BHEPA) Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan mengadakan Seminar Pembudayaan Keusahawanan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar tentang peluang menjadi usahawan di masa akan datang.
Dalam sesi tersebut alumni USM yang merupakan Pakar Perubatan Kecemasan Dan Trauma, Dr Nik Arif Nik Mohamed berkongsi pengalaman berkaitan keusahawanan yang boleh dijalankan selari dengan bidang pelajaran mahu pun pekerjaan kerana perniagaan bukan sekadar menjual barangan sahaja.
Melakukan dua perkara dalam satu masa tidak menjadi halangan kepadanya kerana kesungguhan dan keyakinan yang tinggi dalam melaksanakan kerja kepakarannya dan keusahawanan.
“Saya menghabiskan masa dari jam lapan pagi hingga lima petang di hospital dan hanya dua atau tiga jam sahaja masa yang diperuntukkan untuk perniagaan pada sebelah malam dan ini adalah satu cabaran kerana masa yang terhad tetapi saya akan bangun awal setiap pagi untuk memastikan perancangan pengajaran, pekerjaan dan juga perniagaan disediakan lebih awal," katanya.
Tambahnya, bagi seorang yang sukakan cabaran, perniagaan merupakan satu bidang yang sangat sesuai untuk diceburi dan diterokai kerana seseorang itu perlu kreatif bukan hanya menjual tetapi juga untuk meletakkan sasaran pasaran, strategi pemasaran dan pelbagai lagi yang membuatkan sentiasa berfikir dan mengeluarkan idea baru untuk digunakan.
"Kemodenan komunikasi dewasa ini menjadikan bidang perniagaan dan keusahawanan lebih mudah dijalankan kerana segalanya boleh dibuat secara maya sahaja dan saya ingin sarankan kepada pelajar yang berminat untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan ini agar sentiasa fokus dan memilih bidang yang serasi dan bersesuaian dengan diri," kata Nik Arif.
Pelajar ijazah Kejururawatan, Siti Nor I’zzah Zul Azhar, 26, menganggap bengkel yang diadakan ini sebagai platform untuk memperkenalkan perniagaan yang dijalankan sebelum menyambung pelajaran iaitu ‘My Medical Kit’ yang menjual peralatan pembelajaran kepada pelajar-pelajar perubatan serta berharap agar dapat meneruskan usaha yang dibuat ini walaupun sibuk dengan pelajaran.
Pelajar Doktor Perubatan Muhamad Faizul Imran bin Khairul Aidil Adha, 19, yang menjalankan perniagaan menjual pakaian secara ‘online’ sebagai agen ‘dropship’ bersetuju dengan pandangan itu yang masih menjalankan perniagaan tersebut walaupun masa agak terhad.
Muhamad Faizul Imran memperuntukkan masa yang lebih untuk menguruskan perniagaan ‘online’ itu hanya pada masa cuti di samping mengulangkaji pelajaran.
Seminar ini memberikan pendedahan dan membuka peluang kepada pelajar mencari pendapatan serta menambah duit poket di samping belajar yang disertai oleh 150 orang peserta.
Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid
Foto: Mohd Asrar Rokeman
- Created on .
- Hits: 1100