USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

RAWATAN PERUBATAN MODEN JUGA IKUT KAEDAH ISLAM - MUFTI TERENGGANU

KUBANG KERIAN, 22 Oktober 2015 - Ramai yang keliru dengan istilah rawatan Islam dengan beranggapan terhad kepada rawatan alternatif yang menggunakan ayat-ayat Al-Quran dan hadis sebagai doa sedangkan rawatan oleh pakar perubatan di klinik dan hospital juga termasuk di dalam rawatan Islam bahkan ia lebih patut diutamakan.

Mufti negeri Terengganu Dato’ Dr Haji Zulkifly Muda berkata, rawatan dalam perubatan Islam adalah berasaskan kaedah saintifik atau sebab dan musabab termasuk pesakit yang menerima rawatan di hospital juga diistilahkan menerima salah satu rawatan perubatan secara islam.

“Perubatan dalam Islam ialah berasaskan kepada saintifik, sebab dan musabab yang berasaskan penyakit dan penawar,” katanya dalam Program Bicara Mufti yang dianjurkan oleh Pusat Islam, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini.

Tambah Zulkifly, terdapat dua pandangan ulama Islam yang berbeza terhadap rawatan yang berasaskan Ar-Ruqo atau jampi mantera untuk menghalau makhluk halus dan mengubati sihir misalnya Ibnu Taimiyah mengatakan ia bukan rawatan Islam, tetapi adalah doa kerana rawatan Islam mesti berdasarkan saintifik sementara Imam Fakhrurazi pula mengatakan ia adalah termasuk dalam rawatan Islam.

“Rawatan Ar-Ruqo adalah doa tetapi tidak salah untuk digunakan selagi tidak berlaku perkara yang bercanggah dengan akidah seperti syirik dan khurafat,” jelasnya lagi.

Pada pandangannya, sekiranya seseorang itu sakit, mereka perlu berjumpa doktor terlebih dahulu dan sekiranya doktor memberitahu bahawa pesakit itu tidak menghidapi sebarang penyakit, berkemungkinan pesakit itu terkena gangguan makhluk halus dan sebagainya.

“Selepas itu, pesakit berkenaan boleh menggunakan rawatan Islam dengan berjumpa mereka yang pandai mengubat cara Ar-Ruqo, namun dalam Islam, berjumpa dan meminta pertolongan kepada dukun sangat dilarang kerana dukun sering bekerjasama dengan jin sebagai khadam dan tukang sihir,” ujar Zulkifly.

Teks/Foto     :           Anawiah Abdul Aziz

  • Created on .
  • Hits: 2659

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024