PELUANG BELAJAR SAINS BERSAMA-SAMA PELAJAR DARI JEPUN
PULAU PINANG, 22 Oktober 2015 – Para pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (P) St. George dan Penang Free School hari ini berpeluang belajar sains bersama-sama dengan pelajar Yokohama Science Frontier High School (YSFHS) , Jepun di Dewan Persidangan Canselori, Universiti Sains Malaysia (USM).
Program pemindahan ilmu dan juga perkongsian hasil penyelidikan ini kepada pelajar sekolah di Pulau Pinang ini adalah acara tahunan YSFHS yang diadakan sejak lima tahun lalu.
Menurut mantan Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Abdul Rahim Ibrahim program sebegini amat signifikan dengan bidang pendidikan pada masa kini kerana perkongsian idea dan hasil kerja pelajar perlu di perluaskan ke peringkat antarabangsa seperti yang dilakukan oleh YSFHS.
“Para pelajar perlu mendalami hasil penyelidikan yang dibentangkan kerana ini adalah seperti menghadiri seminar dan persidangan di peringkat antarabangsa,” kata Abdul Rahim kepada lebih 100 orang pelajar sekolah termasuk dari YSFHS.
“Banyak persamaan di antara Jepun dan Malaysia dan para pelajar perlu mengambil peluang yang ada hari ini untuk bertukar-tukar pandangan serta berinteraksi antara satu sama lain supaya hubungan yang terjalin hari ini akan dimanfaatkan pada masa hadapan,”kata Profesor Kunjungan ke Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS),USM Profesor Emeritus Omar Farouk Sheikh Ahmad.
“Jepun sangat terkenal dengan kepesatan ekonomi dan juga kepakaran dalam teknologi namun tidak meninggalkan budaya dan tradisi masyarakat dalam kehidupan seharian. Hal ini perlu dicontohi oleh setiap daripada kita,”tambahnya yang pernah menetap selama lebih 20 tahun di Jepun.
Seramai 21 orang pelajar YSFHS membentangkan hasil penyelidikan mereka dalam pelbagai bidang sains termasuk Kimia, Biologi, Fizik dan juga alam sekitar.
Berucap mewakili para pelajar YSFHS, Momoko Kubota berkata peluang yang diberikan ini adalah satu pengiktirafan kepada mereka serta pengalaman ini akan menjadi satu kenangan manis kepada semua pelajar YSFHS dan juga pelajar di Pulau Pinang.
Teks: Nor Rafizah Md Zain
Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 982