USM TUBUH 3 PASUKAN PETUGAS – PENTINGKAN PROSES PENDIDIKAN HADAPI JEREBU
PULAU PINANG, 22 Oktober 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menubuhkan tiga pasukan petugas khas untuk menangani isu jerebu yang melanda di kawasan utara, khususnya negeri Pulau Pinang terutamanya sekitar Kampus Induk, Kampus Bertam dan Kampus Kejuruteraan USM di Nibong Tebal dengan bacaan indeks pencemaran udaranya (IPU) yang semakin meningkat dan amat tidak sihat.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’Dr. Omar Osman berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat khas operasi menangani jerebu di sini pagi ini.
Awal pagi tadi, Pendaftar USM Siti Zubaidah A. Hamid mengeluarkan kenyataan tentang penangguhan kuliah dan tutorial serta aktiviti-aktiviti lain di Kampus Induk USM di Pulau Pinang, Kampus Institut Penyelidikan Perubatan dan Pergigian Termaju Bertam dan Kampus Kejuruteraan Nibong Tebal.
Turut ditangguhkan adalah Pesta Bola Jaring Antarabangsa USM-Penang International kali ke-25 yang dijangka diadakan pada hujung minggu ini walau pun semalam Pengarah Pusat Sukan dan Reksreasi USM Muhamad Mohd Hanif mengumumkan program itu diubah ke permainan “indoor” di bangunan Kompleks Sukan Azman Hashim yang baru siap.
“Dalam keadaan sekarang ini, kita telah membuat keputusan untuk menangguhkan kuliah dan membatalkan aktiviti-aktiviti yang dibuat di luar kuliah termasuk ko-kurikulum penyelidikan dan kegiatan bersantai dalam kalangan pelajar dan staf.
“Malah kita menasihatkan mereka untuk berada dalam bangunan terutamanya asrama atau desasiswa dan jangan sama sekali menggunakan masa yang ada disebabkan pembatalan kuliah untuk melakukan aktiviti di luar kerana tindakan ini boleh menjejaskan kesihatan mereka,” kata Omar.
Tambahnya, para pelajar sepatutnya menggunakan masa ini untuk mengulangkaji pelajaran atau pun berhubung secara maya dengan para pensyarah, malah universiti menggalakkan mereka sama ada pensyarah atau pelajar meneruskan aktiviti pembelajaran menggunakan apa jua kaedah dan teknologi maya yang ada dengan sebaik mungkin.
Tiga pasukan kerja yang ditubuhkan ialah Pasukan Petugas Tekanikal yang akan menasihatkan Naib Canselor dan universiti dalam membuat sesuatu keputusan jangka pendek dan jangka panjang pada bila-bila masa yang sesuai dengan mengambil kira pelbagai aspek kepakaran yang digabung bersama dalam memantau keadaan jerebu yang berlaku, Pasukan Petugas Khas yang meneliti penyediaan panduan pentadbiran terperinci apabila keputusan pembatalan dan penangguhan kuliah mahu pun aktiviti akademik dibuat serta Pasukan Petugas Khas yang berkaitan aktiviti akademik untuk membuat penelitian dan cadangan terhadap hal-hal yang berkaitan dengan kuliah dan turorial termasuk kemungkinan-kemungkinan yang boleh diambil dalam proses gantian kuliah dan tutorial, cuti semester dan proses peperiksaan bagi memastikan para pelajar tifdak terjejas akibat dari keadaan yang berlaku.
“Kita akan membuat keputusan-keputusan yang diperlukan dalam menangani isu ini dari semasa ke semasa serta membantu para pensyarah membuat kuliah-kuliah gantian terasuk pada waktu malam apabila keadaan membolehkan berbuat demikian, mengadakan siri pendidikan kesihatan dalam menghadapi jerebu oleh pakar-pakar dalam pelbagai bidang yang melibatkan para pelajar, terutamanya dengan bantuan Majlis Perwakilan Pelajar USM serta pebagai tindakan lain yang difikirkan perlu berasaskan kepentingan kesihatan seluruh warga USM, sama ada pelajar, para pensyarah, para pentadbir termasuk staf sokongan yang perlu memaklumkan ketua jabatan mereka jika mempunyai masalah kesihatan,”kata Omar lagi.
Naib Canselor USM itu meminta agar semua pihak memberikan kerjasama yang sewajarnya dalam menghadapi keadaan ini serta berusaha menanganinya sebaik mungkin termasuk menggunakan topeng kesihatan yang bersesuaian yang diedarkan secara percuma kepada pelajar USM.
Sementara itu Pengarah Pusat Sejahtera (Kesihatan dan Pergigian) USM Dr. Normala Abdul Wahid turut menasihatkan warga USM agar menjaga kesihatan dalam menghadapi keadaan sekarang.
“Dengan bacaan IPU yang amat tidak sihat, mereka dinasihatkan agar mendapatkan rawatan sewajarnyta, memastikan bekalan ubat yang cukup, minum air terutamanya air buah-buahan untuk mengelakkan dehidrasi dan menggunakan topeng kesihatan yang disyorkan serta yang penting berada dalam bangunan berhawa dingin atau memandu kenderaan yang berhawa dingin serta mengelakkan daripada berada di kawasan terbuka,” kata Normala.
Pusat Sejahtera USM yang juga menempatkan Bilik Operasi Jerebu USM beroperasi dari jam 8.30 pagi hingga 7.00 malam, begitu juga di Kampus Bertam dan Kampus Kejuruteraan.
Warga USM dinasihatkan juga sentiasa mengikuti perkembangan semasa melalui laman sesawang Pusat Sejahtera USM, laman sesawang USM (www.usm.my) dan media sosial rasmi USM (facebook: Universiti Sains Malaysia Official).
Teks: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 1067