USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

JEREBU KUNING: FENOMENA BOLEH BERLAKU

IMG 20151021 WA0056

PULAU PINANG, 21 Okt. 2015 – Fenomena jerebu berwarna kuning yang menjadi viral di media sosial baru-baru ini kemungkinan besar boleh berlaku dengan mengambil kira kehadiran komponen gas lain dalam udara termasuk karbon monoksida dan nitrogen dioksida.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Fizik, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Mohd. Zubir Mat Jafri berkata, jerebu kuning berlaku disebabkan oleh beberapa faktor termasuk tindakbalas kimia dengan udara sedia tercemar, refleks cahaya matahari dan sebagainya.

Pun begitu katanya, jerebu hanya akan berwarna kuning sekiranya jumlah karbon monoksida dalam udara adalah sangat tinggi, dan sekiranya ia berlaku ia boleh memberi kesan kepada kesihatan manusia.

Menurutnya, antara kesan yang mungkin dirasai disebabkan pencemaran jerebu kuning adalah pedih pada bahagian kulit, pening, sesak nafas dan sebagainya.

“Mengikut maklumat dari Jabatan Alam Sekitar (JAS), keadaan pada ketika ini tidak begitu membimbangkan dan paras karbon monoksida juga tidak begitu tinggi.

“JAS mempunyai kelengkapan yang baik untuk mengukur kehadiran gas-gas ini,” katanya sambil memberi saranan supaya masyarakat memberi sepenuh kepercayaan kepada pihak JAS dalam menjalankan tugas mereka.

Mengulas bacaan IPU yang semakin meningkat sejak beberapa hari lalu, beliau berkata ia disebabkan corak tiupan angin yang melalui trek biasa dari Singapura ke Selat Melaka sehingga ke pantai barat semenanjung Malaysia.

Justeru katanya, jerebu dilihat agak teruk di negeri-negeri seperti Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan dan sebagainya.

``Jerebu ini hanya akan berhenti  jika tidak ada lagi pembakaran hutan. Fenomena ini adalah kitaran biasa yang mungkin hanya akan berakhir jika arah tiupan angin berubah mengikut aturannya,’’ katanya.

Dalam pada itu, rakan sejawatannya, Profesor Madya Dr. Lim Hwee San pula berkata, JAS dan Jabatan Metereologi perlu mencari langkah efektif dalam memberi maklumat yang tepat kepada orang awam bagi mengelak kebimbangan dan panik.

Tambahnya, kedua-dua agensi tersebut boleh mengambil langkah bekerjasama dengan pihak media untuk menyalurkan maklumat yang tepat dalam usaha semua pihak menangani masalah jerebu di negara ini.

"Peranan media amat penting pada masa sekarang dalam mengeluarkan kenyataan yang sahih dan tepat kepada masyarakat. Maklumat yang betul dan dari sumber yang betul akan membantu mengawal keadaan.

“Maklumat interaktif dari semasa ke semasa juga sangat membantu dalam memastikan masyarakat tidak panik yang boleh menjurus kepada salah faham lebih buruk khususnya jika terdapat berita-berita meragukan di laman sosial,"  jelasnya.

Zubir mempunyai kepakaran luas dalam bidang Pemprosesan Imej, Optikal dan Remote Sensing manakala Hwee San, pakar Penderiaan Jauh Persekitaran (Environmental Remote Sensing)  dan banyak terlibat dalam penyelidikan yang berfokus kepada pencemaran alam sekitar.

 

Teks: Marziana Mohamed Alias/Syuhada Abd. Aziz

Foto: Dzulfikar Azmi Muhamad Aripin

  • Created on .
  • Hits: 1692

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024