MNA BANTU JURURAWAT SEDIA BAHAN PENDIDIKAN KESIHATAN
KUBANG KERIAN, 21 Oktober 2015 - Pendidikan pesakit amat penting dalam pencegahan penyakit dan komplikasi kerana pesakit perlu diberi pendidikan kesihatan awal mengenai penyakit yang dihidapi mahu pun rawatan yang diberi untuk membantu meningkatkan keberkesanan rawatan dan mengelakkan komplikasi akibat ketidak patuhan pada rawatan, terutamanya ketika berada di rumah.
Sehubungan itu Bahagian Pendidikan, Persatuan Jururawat Malaysia (MNA), Cawangan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) mengadakan Bengkel Belajar Kaedah Menghasilkan Alat Bantu Mengajar Untuk Pendidikan Pesakit yang bertemakan 'Pencegahan Adalah Lebih Baik Daripada Mengubati.'
Menurut Penolong Pengarah, Unit Kejururawatan, Chik Hussin, bengkel ini adalah untuk para jururawat menarik minat pesakit bagi menerima pendidikan yang diberikan seterusnya melakukan perubahan cara hidup yang diperlukan dengan menggunakan bahan pendidikan yang berkesan untuk meningkatkan daya ingatan serta kemahuan pesakit untuk berubah kerana komplikasi penyakit kronik, pembedahan serta masalah lain boleh dielakkan sekiranya pesakit mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang mereka perlukan.
“Terdapat pelbagai cara untuk menyampaikan pengetahuan dan kemahiran kepada pesakit yang kebiasaannya pendidikan ini diberikan kepada pesakit dan saudara mara ketika berada di dalam wad atau sebelum discaj dari hospital namun memandangkan masa yang diperuntukkan untuk sesi pendidikan kesihatan amat terhad, maka alat bantuan pengajaran yang ringkas, padat dan menarik amat diperlukan,” katanya sebagai Pengerusi MNA.
Tambah Chik, Bahagian Pendidikan MNA mengambil tanggungjawab ini untuk mempersiapkan para jururawat dengan pengetahuan dan kemahiran untuk menyediakan bahan pendidikan dan menggunakan kreativiti mereka sendiri selepas mereka menghadiri bengkel ini.
Peserta bengkel yang merupakan jururawat, Md Fadhil Mat Amin berkata, bengkel ini memberi kesedaran kepadanya mengenai kepentingan dalam memberikan pendidikan kesihatan kepada pesakit serta memberikan impak positif serta menambahkan kemahiran yang sedia ada dalam membuat bahan rujukan serta ilustrasi mengikut tata etika serta penggunaan perisian komputer bagi menyediakan bahan-bahan pendidikan yang kreatif dan menarik.
Bengkel ini juga memberi pendedahan tentang penggunaan Pelan Pengajaran (Lesson Plan) melalui aktiviti pendidikan kepada pesakit.
Teks/Foto : Wan Salizawati Wan Ismail
- Created on .
- Hits: 1050