‘ZERO LINUS ’ BANTU MASALAH PEMBELAJARAN MURID SEKOLAH RENDAH
PULAU PINANG, 21 Oktober 2015 – Program ‘Zero Linus‘ yang dibangunkan oleh pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohd Zuri Ghani mampu membantu menyelesaikan masalah asas pembelajaran membaca, menulis dan mengira murid tahap satu sekolah rendah di Malaysia.
Menurut Mohd Zuri, program yang bermula pada awal tahun 2015 ini bertujuan mengenal pasti masalah awal pembelajaran murid di tahap satu sekolah rendah yang masih tidak boleh membaca dan mengira.
Program Saringan Literasi dan Numerasi (LINUS) merupakan program yang dirancang dan dibentuk sebagai penambahbaikan program sedia ada bagi memastikan semua murid di tahap satu menguasai asas pembelajaran di sekolah.
“Dalam program ‘ Zero Linus’ ini, kami menyediakan 12 konstruk yang dapat mengukur keupayaan seseorang murid itu sebelum guru-guru dapat mengenal pasti masalah yang dihadapai oleh murid berkenaan seterusnya mengambil tindakan yang sewajarnya dalam membantu pembelajaran mereka,” katanya yang ditemubual ketika mengadakan program ‘Zero Linus’ anjuran bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Larut Matang / Selama, Perak di sini, hari ini.
Menurut Mohd Zuri lagi, kandungan program telah dipilih dan disusun supaya dapat memberi pengalaman yang cukup kepada murid untuk membina asas yang kukuh dalam membaca dan pengiraan dan seterusnya membolehkan mereka mengikuti pembelajaran di sekolah dengan lebih bermakna dan berkesan.
“Sehingga kini, kami telah melaksanakan program ini kepada 30 buah sekolah dan impak yang diperolehi daripada guru-guru sekolah tersebut menunjukkan yang pelajar-pelajar sudah mampu menguasai asas membaca dan mengira setelah melalui program ini dan ini menunjukkan hasil yang memuaskan dalam membantu pembelajaran mereka,” tambahnya.
Mohd Zuri berharap program ini mampu dibawa ke peringkat yang lebih jauh lagi dalam membantu pembelajaran murid-murid sekolah ini supaya National Key Result Areas (NKRA’s) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menyasarkan bahawa semua murid yang tidak mempunyai masalah pembelajaran dan berkeupayaan menguasai asas literasi dan numerasi dapat dicapai.
“Selain itu, saya juga berharap para pelajar dari PPIP yang terlibat dalam melaksanakan program ini bukan sahaja akan berkhidmat sebagai seorang guru apabila tamat belajar kelak, tetapi mereka boleh menjadi pemacu kepada pembangunan modal insan negara kerana melalui program ini, pemikiran pelajar-pelajar PPIP tidak hanya tertumpu kepada pelajaran sahaja tetapi mereka seharusnya mampu menjalankan program yang dapat membantu pihak luar,” jelas Mohd Zuri.
Sementara itu, Ketua Pegawai Fasilinus PPD Larut Matang / Selama, Razali Sharif menyambut baik usaha yang dilakukan oleh USM khususnya PPIP yang tampil untuk membantu murid-murid yang mempunyai masalah pembelajaran dan berharap supaya ilmu dari program ‘Zero Linus’ dapat dimanfaatkan oleh guru-guru yang hadir pada hari ini dan digunakan sepenuhnya dan dipanjangkan kepada guru-guru yang lain dalam membantu murid-murid bermasalah ini.
Seramai 20 orang murid tahun dua dari 10 buah sekolah di daerah Taiping, Perak yang mengalami masalah asas pembelajaran menyertai program yang dikendalikan oleh 20 orang fasilitator yang merupakan pelajar-pelajar tahun dua program Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Khas) USM.
Teks: Syuhada Abd Aziz
Foto: Zamani Abdul Rahim
- Created on .
- Hits: 2486