JEREBU: PBJ DITERUSKAN SECARA INDOOR, PASUKAN DIBENAR TARIK DIRI JIKA BIMBANG KESIHATAN TERJEJAS
PULAU PINANG, 21 Okt. 2015 - Penganjuran Pesta Bola Jaring Antarabangsa USM-Penang kali ke-25 yang dijadualkan berlangsung pada 23 hingga 25 Oktober ini akan diteruskan namun pertandingan akan dijalankan dalam gelanggang tertutup (indoor).
Perkembangan terbaru itu dibuat berikutan keadaan semasa fenomena jerebu di negara ini dan sehingga kini, bacaan indeks pencemaran udara (IPU) di Universiti Sains Malaysia (USM) mencatatkan bacaan 140 dan berada pada paras tidak sihat.
Pengarah Pusat Sukan & Rekreasi USM, Muhamad Mohd. Hanif berkata, pihaknya sentiasa memantau keadaan semasa dan akan memastikan persiapan dibuat mengikut standard dan prosedur yang digariskan pihak Universiti.
Katanya, beberapa langkah utama telah diambil bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk memendekkan waktu perlawanan serta mengedarkan topeng muka kepada semua peserta dan petugas perlawanan.
"Penganjur turut akan meningkatkan bilangan petugas keselamatan untuk mengkoordinasikan pergerakan, menambah bilangan paramedik dan mendapatkan pakar perubatan untuk memberi nasihat dari masa ke semasa.
"Kita juga akan membatalkan pertandingan jika paras IPU mencecah 200 dan tidak akan mengabaikan aspek keselamatan dan kesihatan semua pihak yang terlibat," ujarnya.
Tambah beliau, pihak penganjur turut memberi kelonggaran kepada pasukan yang telah mendaftar menarik diri jika sekiranya bimbang dengan tahap kesihatan dan keadaan semasa jerebu.
Pun begitu katanya, bagi yang ingin terus bertanding, pihaknya menasihatkan untuk memakai pakaian sukan bersesuaian khususnya kasut bagi kegunaan indoor.
"Kita nasihatkan pasukan yang terlibat peka dengan perubahan gelanggang serta dapat membuat persediaan sewajarnya," tambahnya.
Dalam pada itu, untuk sebarang maklumat lanjut pasukan-pasukan yang terlibat boleh menghubungi sekretariat PBJ USM-Penang International di talian +6046532687 ,+604-6533271 , faks +6046570302 atau layari laman web pbj.usm.my.
Teks: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 921