MAIZURA HARAP TNGKATKAN ADAPTASI KARYA SERIUS
PULAU PINANG, 21 Oktober 2015 - Karya filem dan drama televisyen yang diangkat daripada naskhah sastera bukanlah perkara baharu di negara ini yang bermula dengan filem Melayu pertama yang ditayangkan di Tanah Melayu pada tahun 1938 iaitu Laila Majnun, merupakan adaptasi dari hasil karya sastera Timur Tengah.
Karyawan Tamu di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) Universiti Sains Malaysia (USM), Maizura Mohd Ederis berkata, selepas itu kita melihat pula penerbitan filem yang diadaptasikan daripada karya hikayat seperti Hang Tuah, Raja Laksamana Bentan, Sultan Mahmud Mangkat Dijulang di sekitar tahun 1950an dan memasuki era tahun 2000, penghasilan filem melalui cara ini semakin mendapat tempat di hati penonton.
"Manisnya Cinta Di Cappadocia, Lagenda Budak Setan, Suamiku Encik Perfect 10, Pilot Cafe antara filem contoh yang mendapat sambutan selain beberapa drama televisyen seperti Hati Perempuan, Teman Lelaki Upahan dan banyak lagi,” kata Maizura, yang mula menceburi dunia penulisan skrip sejak 1997 dan telah menghasilkan ratusan rencana majalah, puluhan skrip drama televisyen, dokumentari, video korporat, bahan pengiklanan, empat naskhah novel dan beberapa cerpen.
Tambahnya lagi, bukan mudah mengangkat naskhah novel menjadi satu cerita yang mampu meruntun jiwa penonton, kerana perbezaan mediumnya, kerana novel menceritakan sesuatu situasi secara deskripsi, tetapi di kaca televisyen, perlu ada penceritaan secara visual supaya emosi yang digambarkan di dalam novel, direalisasikan di depan mata.
Tangisan Bulan Madu adalah karya adaptasi pertama yang dihasilkannya pada tahun 2008, merupakan karya asal Samsiah Mohd Nor.
"Walaupun novel ini diangkat selepas 17 tahun diterbitkan, namun masih ramai yang mengingatinya kerana ia antara novel terawal dalam genre sastera popular," kata Maizura.
Maizura juga menghasilkan skrip bagi drama seperti Nora Elena/Kasih Yang Suci (2011), Cinta Pandang Ke-2 (2013), Ya Maulana/Dalam Iradat-Mu (2014), Cahaya Di hujung Nyawa (2014), Kemboja Di Hati (2014) di samping menjadi penulis skrip bersama untuk pelbagai drama lagi.
Karyawan Tamu merupakan jawatan seni kreatif yang dikhaskan kepada personaliti yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang sastera.
"Diharapkan dengan adanya saya disini, dapat menjadi penghubung antara USM dengan industri kreatif dalam berkongsi pengalaman bagaimana menjual 'idea' kepada orang luar," tambah Maizura lagi.
Maizura juga mengharapkan karya adaptasi boleh membantu memasarkan karya yang serius dan berat kepada khalayak dengan lebih luas, selain dapat menyemarakkan lagi industri perfileman pada masa akan datang.
Teks dan foto : Mohamad Danial Shahri
- Created on .
- Hits: 1025