YOUNG ENTERPRISE SUMBANG KEPAKARAN KEUSAHAWANAN BANTU PELAJAR
PULAU PINANG, 21 Oktober 2015 - Cabaran dalam dunia perniagaan dan kepentingan mendalami semangat keusahawanan adalah antara fokus utama program Young Enterprise Program (YE) yang diiktiraf dan disokong oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) anjuran American - Malaysian Chamber of Commerce (AMCHAM) sebagai program pendidikan perkhidmatan komuniti yang diperkenalkan pada tahun 1989.
Pensyarah perniagaan dan keusahawanan Pusat Pengajian Pengurusan Universiti Sains Malaysia (USM) Mohd Shafie Ariffin berkata, program ini adalah satu pertandingan tahunan yang diadakan bagi mengenengahkan bakat-bakat baharu dalam kalangan pelajar sekolah dalam bidang keusahawanan melalui penjualan produk-produk yang dibuat oleh pelajar sekolah-sekolah terlibat dengan bantuan penasihatan dari institusi pendidikan tertentu sebagai penaja sekolah-sekolah ini.
"Program seperti ini adalah salah satu tunjang bagi Program Pemindahan Ilmu (KTP) kerana melalui program ini, para pensyarah yang terlibat dapat menyumbang ilmu pengetahuan kepada sekolah yang ditaja untuk membangunkan produk dari konsep idea hinggalah terjualnya produk tersebut," katanya yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Penganjuran Program dan Penasihat USM bagi Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (Lelaki) Al-Mashoor Pulau Pinang.
Tambah Mohd Shafie, fokus pada tahun ini adalah untuk produk pembuatan dan USM membantu sekolah yang ditaja dari permulaan perancangan idea, konsep, strategi pasaran, strategi produk, penjualan dan berkaitan bagi produk kraftangan serta button badge yang dipertandingkan.
Mohd Shafie berharap agar para pensyarah USM dapat menyertai program seperti ini pada tahun akan datang kerana ini sebagai satu program tanggungjawab sosial (CSR) dan tugas kesukarelawanan dalam kalangan pensyarah untuk menyumbang ilmu dan pengetahuan dalam bidang keusahawanan kepada para pelajar yang merupakan generasi pemimpin masa hadapan ini.
Pengerusi Program YE 2015-2016, Dato' P'ng Soo Hong pula berkata, program ini dapat mencungkil kreativiti dan inovasi dalam kalangan para pelajar melalui elemen keusahawanan bagi membentuk pemimpin akan datang yang berdaya saing melalui penyertaan oleh 16 buah sekolah menengah.
"Memulakan perniagaan perlulah melalui langkah-langkah dan proses yang betul serta pengucapan awam dapat diasah oleh para pelajar program ini," jelasnya lagi.
P’ng Soo Hong yang merupakan Naib Presiden First Solar itu berharap agar program ini akan dapat dikembangkan pada tahun akan datang bukan sahaja di Pulau Pinang tapi di Koridor Utara.
“Kami berterima kasih kepada guru-guru sekolah dan penasihat yang terlibat dalam menjayakan program ini,”katanya lagi.
USM telah mengambil bahagian sejak tahun 1994 dalam program YE dan pada tahun ini USM membantu dari segi penyediaan tempat dan fasiliti bagi kelancaran program yang bermula pada bulan Februari lalu dan kemuncaknya pada bulan September setelah para pelajar selesai mengadakan YE Sales Fair di 1st Avenue Mall Pulau Pinang.
Teks : HAFIZ MEAH GHOUSE MEAH
Foto : ZAMANI ABD RAHIM
- Created on .
- Hits: 834