USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PERTANDINGAN DEBAT MEDAN ASAH BAKAT BAKAL GURU

 DSC7961h

PULAU PINANG, 20 Oktober 2015 – Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) Universiti Sains Malaysia (USM) menganjurkan Pertandingan Debat Piala Dekan PPIP yang bertujuan membincangkan hal ehwal pendidikan negara selain mengasah bakat kebolehan pelajar berdebat.

Dekan PPIP, Profesor Dato’ Dr Abdul Rashid Mohamed berkata, Pertandingan Debat Piala Dekan PPIP ini diharap menjadi platform kepada pelajar dalam mempraktikkan kemahiran berfikir aras tinggi melalui medium perdebatan dan perbincangan.

“Kebolehan pelajar berdebat dan mengutarakan pendapat secara bebas dan ikhlas adalah sangat signifikan dalam tuntutan kerjaya seseorang guru yang berada dalam barisan paling hadapan,” kata Abdul Rashid.

Pertandingan Debat Piala Dekan PPIP ini buat julung kali diadakan melibatkan enam pasukan yang bertandingan debat ala parlimen dan dua pasukan yang layak ke pertandingan akhir yang diadakan pada hari ini.

 DSC7962n

Jelas Abdul Rashid lagi, pertandingan debat dalam bahasa Melayu ini juga bertujuan meningkatkan penguasaan kemahiran berbahasa dengan baik dalam kalangan pelajar, selain memartabatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa perpaduan di persada negara, serantau dan antarabangsa.

“Saya berharap para peserta dapat menghayati peranan mereka sebagai generasi pelapis yang menjadi harapan masa hadapan masyarakat apatah lagi guru adalah arkitek sosial yang mempunyai agenda melaksanakan proses pendidikan secara berkesan bagi melahirkan pelajar yang mempunyai jati diri dan berilmu dan bertakwa,”katanya lagi.

 DSC7920ghj

Selain debat dalam Bahasa Melayu, persembahan drama Bahasa Inggeris turut dipersembahkan oleh para pelajar PPIP untuk  melahirkan para guru yang serba boleh untuk menyokong usaha memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkasakan Bahasa Inggeris.

Pemenang tempat pertama dan kedua serta pendebat terbaik akan menerima piala dan sijil penghargaan dan penyampaian hadiah akan disempurnakan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr Omar Osman di Majlis Sambutan Hari Guru 2015 peringkat USM petang ini.

Teks: Syuhada Abd Aziz

Foto: Zamani Abdul Rahim

 

  • Created on .
  • Hits: 736

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024