USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MENJADI PENDIDIK PERLU BERSIKAP IKHLAS

 DSC7978kl

PULAU PINANG, 20 Oktober 2015 –  Seseorang pendidik perlu ikhlas dalam memainkan peranannya dalam memegang amanah dan menyumbang ilmu kepada anak bangsa.

Penerima Anugerah Pendidik Harapan, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) Universiti Sains Malaysia (USM) Dr. Jamalsafri Saibon berkata, tugas seseorang guru sebagai pendidik amat mulia dengan tanggungjawabnya yang berat dan perlu dilaksanakan dengan ikhlas dan sentiasa komited dalam mendidik anak bangsanya.

"Saya amat berharap agar semua guru sentiasa serba boleh dan berkemampuan untuk melaksanakan tugas dengan cemerlang serta mempunyai ciri-ciri peringkat global," katanya lagi.

Jamalsafri yang terkejut diisytihar menerima anugerah tersebut menganggap terdapat ramai lagi para pensyarah hebat di PPIP serta menganggap anugerah yang diterimanya sebagai motivasi dan dorongan untuk terus memberi khidmat terbaik kepada pelajar dan masyarakat pada masa akan datang.

Anugerah disampaikan oleh Naib Canselor USM Profesor Dato’ Dr. Omar Osman dalam Majlis Sambutan Hari Guru peringkat PPIP di sini yang bertemakan Guru Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak.

  DSC7977

Seorang lagi penerima Anugerah Pendidik Harapan, Dr. Salmiza Saleh pula bersyukur kerana terpilih dan mendedikasikan penghargaan kepada setiap mereka yang banyak membantu dalam kerjayanya termasuk rakan setugas dan para pelajarnya.

Salmiza juga berharap, guru-guru masa kini dapat berusaha lebih gigih menjadi generasi yang dapat menyumbang bakti kepada masyarakat.

"Tiada halangan sekiranya mahu berjaya dalam hidup namun yang penting perlu tanamkan sikap mahu seribu daya dan terus mengejar impian untuk menjadi seorang pendidik cemerlang dan terbilang di dalam minda," kata anak kepada seorang guru besar itu.

jhv 

Anugerah Pendidik Cemerlang Kategori Penyelidikan dan Penerbitan dimenangi oleh Dr Mohd Zuri Ghani, 39 yang bersyukur, gembira, teruja dan terkejut apabila diumumkan sebagai penerima anugerah serta menganggapnya sebagai anugerah yang tinggi nilainya kerana terhasil dari keringat yang tidak pernah jemu dalam menyumbang bakti.

Mohd Zuri anak ketiga dari lapan adik-beradik ini berasal dari Pasir Mas, Kelantan berkata, antara faktor lain yang mendorong kejayaannya ialah minat terhadap mendidik orang lain menjadi insan yang baik untuk dijadikan contoh kepada masyarakat.

Yang turut hadir ialah Dekan PPIP Profesor Dato’ Dr. Abdul Rashid Mohamed dan pesnyarah dan pelajar PPIP.

Teks dan Foto : Zamani Abdul Rahim

  • Created on .
  • Hits: 1312

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024