USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENJAGAAN DAN PENDIDIKAN KESIHATAN PENTING KAWAL ENYAKIT BERJANGKIT

IMG 20151020 WA0008

KUBANG KERIAN, 20 Oktober 2015 - Penularan penyakit berjangkit mampu menyebabkan masyarakat dunia termasuk Malaysia berada dalam kebimbangan yang berterusan seperti penyakit MERS-CoV, Ebola, Leptospirosis (Kencing Tikus), Influenza A (HINI), Batuk Kering (TIBI) Viral Hepatitis, Taiford, Kolera dan sebagainya.  Pelbagai usaha dilakukan oleh banyak pihak untuk mengawal penularan penyakit berjangkit terutama yang dapat menyebabkan kematian.

Bagi menangani penyakit berjangkit dari terus menular terutamanya untuk kakitangan Universiti Sains Malaysia (USM), Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSP), Kampus Kesihatan telah menganjurkan Kursus Penyakit Berjangkit di Tempat Kerja, dengan pendedahan kepada bahaya penyakit berjangkit melalui udara (Airborne), penyakit berjangkit melalui darah (Bloodborne) dan melalui persekitaran yang dihadiri oleh 70 orang peserta.

IMG 20151020 WA0007

IMG 20151020 WA0005

Menurut pensyarah Jabatan Perubatan Masyarakat, PPSP USM, Profesor Madya Dr. Aziah Daud,  konsep “One Health” iaitu perkongsian persekitaran antara manusia dan binatang perlu dipromosikan kepada masyarakat dengan lebih meluas, contohnya dengan mengadakan ceramah dan pameran kesihatan serta hebahan melalui media massa seperti radio, televisyen, suratkhabar, majalah dan sebagainya. 

Pendidikan secara  menyeluruh ini diharap dapat mendidik masyarakat agar lebih prihatin bagi mengawal wabak penyakit  berjangkit dari terus menular.

“Masih ramai di kalangan masyarakat tidak ambil peduli mengenai masalah pencemaran air, berapa banyak sungai yang tercemar,  berapa banyak wang yang perlu digunakan bagi mendapatkan punca air yang bersih, terutamanya untuk air minuman manakala kebanyakan kampung terutamanya di kawasan pedalaman menggunakan air perigi untuk minum,” kata Aziah.

IMG 20151020 WA0004

Jelasnya, punca air bersih hendaklah berjauhan dari sumber kekotoran seperti tangki tandas (Safety Tank), kandang atau reban haiwan ternakan dan sebagainya  dengan keadaan selamat memerlukan jarak sekurang-kurangnya sejauh 100 kaki dari punca air minuman, bagi mengelak dari tercemar”, katanya.

Tambah Aziah penternak binatang peliharaan seperti kucing, anjing, lembu, ayam dan sebagainya perlu menyedari bahawa kemungkinan besar binatang peliharaan tersebut boleh mengundang bahaya kepada penyakit berjangkit seperti penyakit kuku dan mulut dan penyakit kencing tikus.

“Masih ramai dalam kalangan masyarakat belum menyedari bahaya dari najis dan air kencing binatang peliharaan yang boleh menyumbang penyakit yang sama dengan penyakit kencing tikus”, ujarnya lagi.

IMG 20151020 WA0006

Satu daripada cara untuk mengawal penularan penyakit berjangkit adalah dengan memastikan penjagaan kesihatan yang teratur dalam kalangan masyarakat Malaysia apatah lagi penjagaan kesihatan merupakan satu amalan yang berterusan dan kebersihan diri ialah asas utama termasuk amalan mencuci tangan sebelum makan dan selepas ke tandas dapat menghindari dari dihinggapi penyakit.

Penjagaan kesihatan juga melibatkan aktiviti senaman dan riadah serta permakanan yang seimbang sedangkan masyarakat Malaysia hari ini terdedah pada pelbagai risiko penyakit jika tidak mengendahkan amalan penjagaan kesihatan.

Yang turut sama menyampaikan ceramah pada kursus ini iaitu pensyarah Jabatan Mikrobiologi & Parasitologi Perubatan, PPSP Profesor Madya Dr. Zaidah Abdul Rahman dan Profesor Madya Dr. Siti Asma’ Hassan.

Teks/Foto: Abdul Aziz Latif

  • Created on .
  • Hits: 1203

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024