JELAJAH KPT PAMER KEHEBATAN UNIVERSITI AWAM
KOTA BHARU, 17 Oktober 2015 – Siri Program jelajah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) “Soaring Upwards” yang berlangsung di sini semalam mempamerkan 10 lonjakan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia- Pendidikan Tinggi (PPPM-PT) 2015 – 2025 sebagai usaha untuk memberikan fakta tentang pencapaian universiti awam di pentas dunia.
Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Idris Jusoh turut mendedahkan laporan luar yang menyatakan pencapaian penyelidikan universiti di negara ini mengatasi universiti di negara jiran terutamanya Universiti Sains Malaysia (USM) yang tersenarai 50 yang terbaik dalam bidang Sains Persekitaran serta tempat ke-54 di dunia dalam bidang Teknologi Kejuruteraan.
"Kita juga mahu siswazah kita berupaya untuk mewujudkan peluang pekerjaan baharu, bukan hanya mencari pekerjaan dengan orang,” kata Idris.
Tambahnya lagi, universiti kita juga telah menyediakan empat trek sama ada untuk menjadi pensyarah, penyelidik, menjadi pemimpin universiti atau profesional dalam bidang klinikal.
Antara lima universiti awam yang tersenarai dalam 100 universiti terbaik di Asia ialah Universiti Malaya ditangga ke-29, USM ditangga ke-49, Universiti Kebangsaan Malaysia ditangga ke-56, Universiti Teknologi Malaysia ditangga ke-62 dan Universiti Putra Malaysia ditangga ke-66.
Pakar Neurosains USM Profesor Dato’ Dr. Jafri Malin Abdullah selaku salah seorang alumni USM yang berjaya pula mendedahkan Jabatan Neurosains sekarang sedang menjalankan kajian vaksin sampar ayam untuk rawatan barah terutama barah otak yang dibiayai oleh Majlis Kanser Nasional (MAKNA).
“Di USM juga, kami menjalankan pembedahan sedar di bahagian otak malah pada masa yang sama pesakit boleh membaca Al-Quran dan solat dan pembedahan ini mengikut spesifikasi yang ditetapkan,” katanya.
Tambah Jafri lagi, pembedahan ini telah dijalankan sembilan tahun lepas di USM dan telah dimasukkan dalam jurnal perubatan.
Yang hadir sama dalam program tersebut ialah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Dato' Profesor Asma Ismal, Naib Canselor USM Profesor Dato' Dr. Omar Osman, Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Profesor Dato' Dr. Mortaza Mohamed
dan pegawai-pegawai tinggi KPT dan universiti awam lain.
Teks: Muhd Zulkifli Zakaria
Foto: Md Sabri Saleh
- Created on .
- Hits: 1319