USM BANTU LONJAK HUTAN BAKAU MERBOK DALAM RIZAB BIOSFERA UNESCO (UNESCO BIOSPHERE RESERVE)
PULAU PINANG, 19 Okt. 2015 – Sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) sedang giat menyiapkan dosir bagi membolehkan Hutan Paya Bakau Merbok dapat diwartakan sebagai Rizab Biosfera Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Melalui kajian USM selama lebih empat dekad, Hutan Paya Bakau Merbok terbukti mempunyai keunikan tersendiri termasuk mengandungi kepelbagaian spesis bakau tertinggi di dunia dalam satu kawasan yang kecil, hanya dalam keluasan 4,000 hektar.
Cadangan mewartakan khazanah emas negara yang dibuat dengan usahasama kerajaan negeri Kedah itu kini sedang dalam proses akhir pengemaskinian data dan dokumentasi. Penulisan dosir dijangka dapat dikemukakan kepada UNESCO selewat-lewatnya Januari tahun depan.
Projek yang diketuai Pengarah Pusat Inisiatif Penyelidikan Sains Hayat, Profesor Dr. Siti Azizah Mohd. Nor itu disifatkan melengkapi pakej pelancongan negeri Kedah, yang turut memuatkan kejayaan penemuan Tamadun Kedah Tua, juga oleh penyelidik arkeologi terkemuka USM, Profesor Dato’ Dr. Mokhtar Saidin.
Mokhtar yang berpengalaman menempatkan tapak arkeologi Bukit Bunuh, Lenggong yang menemukan tamadun awal peradaban manusia dalam senarai tapak warisan dunia UNESCO juga akan berperanan dalam penyediaan dosir berkenaan.
Siti Azizah berkata, terdapat lebih dari 32 spesis pokok bakau di Merbok, antaranya yang telah terancam teruk seperti spesis berus mata buaya (Bruiguiera hainseii), gedabu (Sonneratia ovata), berembang (Sonneratia caseolaris) dan sebagainya.
“Sudah tiba masanya kawasan ini diwartakan kerana jika tidak, negara berdepan dengan kehilangan paya bakau yang akan mengakibatkan kerugian yang amat besar kepada negara.
“Kumpulan penyelidik kita juga telah tampil dengan pelan strategik jangka pendek dan panjang untuk memelihara kawasan ini, termasuk menjadikannya kawasan eko-pelancongan yang lestari,” katanya.
Beliau ditemubual selepas mengadakan pembentangan khas dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pewartaan Hutan Simpan Bakau Sungai Merbok sebagai Rizab Biosfera UNESCO di sini hari ini. Mesyuarat dipengerusikan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir.
Mukhriz dalam pada itu turut mengumumkan, kerajaan negeri akan memberi sokongan penuh ke arah melestarikan kawasan tersebut, selain komited dalam membantu menaikkan aktiviti sosio-ekonomi masyarakat setempat.
Beliau juga berkata, pihaknya amat berpuas hati dengan laporan kemajuan kerja pewartaan Hutan Paya bakau Merbok dan menyifatkan kajian USM akan memberi manfaat dan impak cukup besar kepada pembangunan negeri Kedah.
Siti Azizah juga berkata, pewartaan paya bakau Merbok juga akan melonjakkan hasil penyelidikan saintis negara termasuk penyelidikan Lembah Bujang dan Sungai Merbok ke persada antarabangsa .
Mengulas keistimewaan mega biodiversiti di situ, katanya, Hutan Paya Bakau Merbok juga mempunyai ekosistem yang amat baik dan membekalkan sumber makanan kepada fauna, selain menjadi zon penampan kepada tsunami dan hakisan.
Selain itu katanya, pokok bakau juga berupaya menjadi sumber semulajadi dalam kawalatur suhu (pemanasan global), nurseri udang dan ketam dan sebagainya.
“Keadaan semasa dilihat semakin mengancam hutan paya bakau Merbok dan langkah proaktif perlu diambil segera dan pewartaannya sebagai Rizab Biosfera UNESCO adalah langkah terbaik dalam memelihara khazanah yang tiada bandingannya ini.
“Jika diwartakan, kawasan ini akan melalui satu proses pemuliharaan yang melibatkan pembangunan mapan, usahasama komuniti dan pendekatan sains yang membolehkannya kekal terpelihara dan mempunyai daya penarik eko-pelancongan,’’ katanya.
Tambah beliau, antara manfaat lain yang diperoleh termasuk mengekalkan Kedah sebagai lokasi bakau berdiversiti, Hutan Paya Bakau Merbok sebagai makmal hidup antarabangsa dan meningkatkan aktiviti sosio-ekonomi masyarakat setempat.
Mukhriz dalam pada itu turut mengumumkan, kerajaan negeri akan memberi sokongan penuh ke arah melestarikan kawasan tersebut, selain komited dalam membantu menaikkan aktiviti sosio-ekonomi masyarakat setempat.
Beliau juga berkata, pihaknya amat berpuas hati dengan laporan kemajuan kerja pewartaan Hutan Paya bakau Merbok dan menyifatkan kajian USM akan memberi manfaat dan impak cukup besar kepada pembangunan negeri Kedah.
Teks: Marziana Mohamed Alias/ Foto: Mohd. Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 2138