USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TEMA SPARKS PIKAT JURI

IMG 0304 

 

PULAU PINANG, 2 Mac 2015 – Rekabentuk sekumpulan pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) yang membawa tema 'SPARKS' telah memikat juri Pertandingan Struktura Design Challenge dan menobatkan 5 Men Studio sebagai juara pertandingan anjuran UDA Holdings tersebut.

 

5 Men Studio yang diwakili oleh lima pelajar Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (HBP) membawa pulang wang tunai berjumlah RM50,000.00.

    

“Persaingan yang sengit di antara para peserta tidak mematahkan semangat saya dan rakan – rakan sepasukan menghasilkan dan mempersembahkan rekabentuk yang terbaik,” ujar salah seorang ahli kumpulan 5 Men Studio, Mun Kai Hoang yang juga penuntut Ijazah Sarjana Muda Senibina.

 

IMG 0290

 

“Saya berharap agar program sebegini diteruskan lagi pada masa hadapan kerana ianya dapat membuka minda dan mengukur tahap kredibiliti para pelajar khususnya dalam menghasilkan rekabentuk yang terbaik dan bersaing secara sihat di antara satu sama lain,” ujarnya ketika ditemui selepas majlis persembahan semula rekabentuk di hadapan pensyarah dan pelajar HBP di Dewan Tuanku Syed Putra semalam.

 

Sebagai pelajar USM yang mementingkan kelestarian, mereka menerapkan pelbagai konsep kelestarian seperti penanaman lebih banyak pokok-pokok dan juga menitikberatkan konsep penuaian semula air hujan dan sebagainya.  

 

Menurut Dekan HBP, Profesor Madya Dr. Aldrin Abdullah kemenangan tersebut amat bermakna kepada pusat pengajian kerana beliau tidak henti-henti menerima ucapan tahniah dan penghargaan daripada pengurusan tertinggi universiti dan juga rakan-rakan dekan dan pensyarah.

 

“Perkembangan teknologi pada masa kini menjadikan maklumat kemenangan tersebut diterima oleh banyak pihak dalam masa yang singkat dan saya sangat terkesan dengan ucapan-ucapan tersebut.

 

“Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang sangat prihatin dan mengambil berat dengan HBP,” ujar Aldrin dalam satu majlis penghargaan kepada para pelajar HBP yang cemerlang dalam pertandingan-pertandingan kebangsaan dan juga Anugerah Dekan iaitu pelajar yang mendapat CGPA 3.5 dan ke atas dalam pelajaran.

 

IMG 0297

 

Selain 5 Men Studio, kumpulan The Catalyst yang juga dari HBP memenangi tempat kedua dan membawa pulang hadiah berjumlah RM30,000.00 dalam pertandingan yang sama.

 

Menurut Syamira Suib, pertandingan berkenaan merupakan platform terbaik buat para pelajar dalam mengenengahkan bakat dan kreativiti.

 

“Saya juga berharap agar para pelajar lain akan meneruskan kemenangan ini pada masa hadapan sekiranya pertandingan sebegini dianjurkan lagi dan ianya menyuntik semangat kami untuk melakukan yang terbaik,” tambah Syamira.

 

Pertandingan ini juga bukan pertama kali buat kumpulan The Catalyst kerana mereka telah pun menyertai beberapa pertandingan seumpama ini sebelumnya dan kemenangan ini tentunya menjadi penanda aras dalam kejayaan – kejayaan yang bakal dicipta pada masa hadapan.

 

IMG 0276

 

Dalam pertandingan tersebut, peserta perlu menampilkan karya senibina pusat membeli-belah berkeluasan 8.9 hektar yang dinamakan Angsana  2 JB Mall yang akan dibangunkan UDA Holdings di Johor Bahru. Para peserta telah diberi tugasan untuk menghasilkan karya seni bina bahagian hadapan bangunan bagi projek Southern Sparks, yang bakal menjadi mercu tanda bangunan UDA yang akan didirikan di Tampoi, Johor.Teks: Siti Naquiah Binti Abdillah dan Nor Rafizah Md Zain/ Foto: Mohd Fairus Md Isa

 

  • Created on .
  • Hits: 1824

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024