USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PERPADUAN PENTING DALAM PEMBANGUNAN UMMAH

 DSC7796gng

PULAU PINANG, 19 Oktober 2015 – Perpaduan penting dalam pembangunan ummah yang perlu diterapkan dalam setiap diri individu seperti mana Rasullullah S.A.W. berjaya membina perpaduan negara Islam walaupun menghadapi pelbagai cabaran yang besar.

Demikian kata Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Abbas ketika merasmikan majlis sambutan Maal Hijrah 1437H peringkat Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini.

Abdul Rahman turut membaca puisi beliau bertajuk Maal Hijrah berkata Maal Hijrah adalah satu perjalanan yang penuh signifikan yang perlu diteliti, dikaji, didalami dan dihayati bersama.

“Maal Hijrah telah diraikan setiap tahun melalui pelbagai program seperti ceramah dan forum-forum Islam, namun ramai kita kurang penghayatan dan pengajaran daripada setiap apa yang dipelajari,” tambah Abdul Rahman.

"Perpaduan Nadi Transformasi Universiti dipilih sebagai tema Sambutan Maal Hijrah 1437 peringkat Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun ini yang sangat relevan pada masa kini bagi mengajak warga kampus dan masyarakat untuk mensyukuri harga keamanan dan perpaduan yang kian terhakis, ” kata Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr Omar Osman.

Omar mengimbas kembali usaha dan kepimpinan Nabi Muhammad S.A.W. yang telah menyatukan kaum Ansar dan Muhajirin yang mempunyai pelbagai budaya dan agama agar menghormati manusia dan alam semesta.

“Model baginda Rasulullah S.A.W. inilah yang bakal USM guna bagi menyusun strategi dan pemupukan perpaduan melalui nilai-nilai yang dibangunkan bagi menjulang dan memacu kecemerlangan untuk kelestarian hari esok,” tambah Omar.

 DSC7792fgn

Pada majlis yang sama, Abdul Rahman turut menyampaikan Anugerah Tokoh Dakwah USM kepada Pembantu Penyelidik dan juga pelajar Doktor Falsafah di Pusat Pengajian Sains Pergigian, Kampus Kesihatan, Johari Yap Abdullah.

Pemilihan Johari, 40, adalah berdasarkan penglibatannya dalam aktiviti-aktiviti dakwah dan aktiviti yang melibatkan masyarakat bukan Islam di samping ceramah, kursus pengurusan jenazah, dan menjadi ahli panel untuk program-program dakwah di peringkat universiti, negeri dan kebangsaan melalui penglibatan dalam kerja-kerja sukarela.

Johari juga aktif dalam aktiviti sosial dan kesukarelawanan seperti keterlibatan sebagai sukarelawan Bantuan Banjir NGO (BBNGO) dalam membantu mangsa dalam Bah Kuning di Kelantan, NGO Persatuan Cina Muslim Malaysia dan Koordinator Teknologi Maklumat Yayasan Orang Kelainan Upaya OKU Kelantan (YOKUK).

Beliau memeluk agama Islam ketika berusia 20 tahun dan telah dianugerah Tokoh Maal Hijrah (Saudara Baru) pada tahun 2007 peringkat negeri Kelantan.

Johari menerima wang tunai bernilai RM3000.00 beserta trofi, seutas jam tangan dan sijil penghargaan.

 DSC7832hn

Naib Canselor pula telah menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Maal Hijrah kepada lapan orang bagi tiga kategori iaitu Akademik, Pengurusan dan Profesional dan Sokongan serta penghargaan khas Pusat Islam kepada 13 staf dan ahli qaryah yang banyak membantu pengurusan aktiviti Pusat Islam.

Penerima Anugerah Kecemerlangan diberikan seutas jam tangan, sijil penghargaan dan wang tunai RM2000.00 manakal Penghargaan Khas Pusat Islam menerima seutas jam tangan, sijil penghargaan dan wang tunai RM500.00.

Turut hadir ialah Pengarah Pusat Islam merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Maal Hijrah 1437 Peringkat USM, Profesor Dato’ Dr Idiris Saleh, isteri Naib Canselor, Datin Noraizan Jamaludin serta penceramah jemputan yang juga pensyarah National University Singapore, Profesor Madya Dr. Syed. M. Khairudin Al-Junied.

Teks: Nor Rafizah Md Zain

Foto: Zamani Abdul Rahim

  • Created on .
  • Hits: 1119

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024