PIPPA ADAKAN KURSUS BERSAMA ECC TINGKATKAN KECEKAPAN PENGURUSAN BAKAT
LONDON, England 19 Oktober 2015 - Dalam usaha meningkatkan keberkesanan pengurusan sektor awam, para pengurusnya perlu berusaha meningkatkan kemahiran pengurusan bakat di pelbagai peringkat.
Hal ini ditegaskan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan ketika merasmikan kursus “Competencies Know How: The Foundation of Talent Management for Public Sector Employees” yang pertama kali diadakan bersama Pusat Inovasi dan Produktiviti Pentadbiran Awam (PIPPA) dengan kerjasama Educational Competencies Consortium (ECC) England di sini hari ini.
Berucap mewakili Naib Canselor USM Muhamad berkata, dalam konteks ini USM melalui PIPPA menyediakan peluang meningkatkan kemahiran khusus yang diperlukan melalui kerjasama dengan rakan strategik di dalam dan luar negara selaras dengan usaha memupuk pendidikan sepanjang hayat dalam kalangan pengurus sektor awam.
Program latihan ini dihadiri oleh peserta yang terdiri dari pengurus sumber manusia dari pelbagai agensi awam antaranya dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), INTAN, Kementerian Sumber Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Perbadanan Kemajuan Iktisas Negeri Kelantan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Teknologi Hijau, Tenaga dan Air, MADA, USM dan PERKESO.
Dalam program latihan tersebut selain didedahkan dengan pelbagai teknik mengenalpasti dan menguruskan kompetensi, para peserta juga berpeluang melawat dan mendengar taklimat pengurusan bakat dan bertukar pandangan bersama pegawai-pegawai pengurusan sumber manusia di Universiti Oxford.
Pada majlis yang sama, USM melalui PIPPA turut menandatangani perjanjian persefahaman dengan ECC yang meliputi kerjasama penganjuran program latihan, perundingan dan pembangunan produk pengurusan sumber manusia yang disasarkan untuk Malaysia dan negara-negara ASEAN.
Pada majlis itu, USM diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) manakala ECC diwakili oleh Pengerusi Lembaga Pengarah, Julie Llyod.
Yang turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni) Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein, Ketua Pegawai Eksekutif ECC, Nicholas Johnston dan Pengarah PIPPA, Dr. Musa Ali.
PIPPA adalah agensi pertama yang dipilih oleh ECC untuk mengadakan kerjasama sedemikian di luar United Kingdom. ECC merupakan agensi yang menguruskan kompetensi di 125 universiti di United Kingdom.
Menurut Musa, sejak ditubuhkan tiga tahun lalu, PIPPA telah mempunyai sepuluh rakan strategik di luar negara termasuk di Australia, Timur Tengah, Amerika Syarikat dan Eropah.
"Sehingga kini PIPPA , telah berjaya melatih 6500 kakitangan awam di pelbagai peringkat," katanya lagi.
Teks suntingan: Mohamad Abdullah
Foto: Dr. Musa Ali
- Created on .
- Hits: 1037