USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

HIJRAH MINDA UNTUK CAPAI KEJAYAAN

 DSC7717ghh

PULAU PINANG, 19 Oktober 2015 - Untuk Universiti Sains Malaysia (USM) mencapai kejayaan pada masa hadapan, seluruh warganya perlu melakukan penghijrahan minda yang menyeluruh secara bersama-sama.

Demikian pandangan pensyarah dari Fakulti Seni dan Sains Sosial Jabatan Pengajian Melayu National University of Singapore, Profesor Madya Syed M. Khairudin Aljunied dalam syarahannya yang bertajuk Perpaduan Nadi Transformasi Universiti sempena Sambutan Maal Hijrah peringkat USM 1437 pada pagi ini.

Dalam majlis yang dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Haji Abbas itu, Khairudin berkata,  USM mampu menjadi universiti yang unggul di dunia kerana mempunyai banyak sumber dengan potensi yang besar untuk berjaya melalui penghijrahan minda dalam cara melakukan kerja setiap hari yang berasaskan kepada budaya ilmu.

"Yang diperlukan ialah kerja bersama-sama secara berpasukan melalui kepimpinan yang hebat manakala mereka yang dipimpin pula menyokong usaha yang dilakukan dengan memainkan peranan masing-masing," kata Khairudin.

 DSC7803xc

Beliau mencadangkan agar usaha ini dibuat berlandaskan kepada lima strategi utama iaitu yang pertama dengan berusaha melahir dan menzahirkan budaya keilmuan dalam kalangan warga universiti, mendorong perbincangan-perbincangan ilmiah dan merealisasikan budaya ilmu yang tinggi berteraskan idea-idea bernas, penghasilan dan perdebatan dari buku-buku dan mendorong warga untuk mengurangkan atau menolak hal-hal remeh temeh yang tidak ada kena mengena dengan ilmu.

"Universiti juga perlu membangunkan dan berkongsi wawasan yang sama dengan seluruh warganya dengan aspirasi yang datang dari segenap lapisan warga dan dirasai bersama," katanya lagi.

Selain dari itu, kejayaan boleh dicapai apabila pemikiran tentang etika dapat digabungkan bersama dengan mempunyai adab dan akhlak yang tinggi apatah lagi berkongsi sesuatu kejayaan secara bersama.

"Kita juga perlu mempunyai keutamaan strategik dengan mendahulukan hal-hal yang penting misalnya menekankan kepada nilai-nilai penyelidikan dengan para pensyarah mengajar berasaskan penyelidikan apatah lagi antara kekurangan universiti di negara Islam ialah tidak memberikan keutamaan kepada yang utama," katanya lagi.

Beliau turut menekankan kepada kepentingan mempunyai pemimpin yang boleh diteladani dan dicontohi.

 DSC7727jhgjk

"Universiti perlu melahirkan kepimpinan yang boleh dicontohi dalam semua aspek terutamanya penyelidikan dan mempunyai jiwa rakyat yang tinggi sebagai sumber kekuatan yang sentiasa menghargai mereka yang dipimpin dan sedar bahawa kejayaan hanya boleh dicapai apabila pemimpin dan mereka yang dipimpin berjalan seiring dan saling menghargai," tegasnya.

Khairudin berkata, kesabaran yang tinggi perlu bagi merealisasikan usaha ini kerana usaha sebegini adalah satu proses yang panjang serta semua pihak perlu sentiasa membuat muhasabah, pemantauan dan saling berpesan dalam melakukan kebaikan.

"Resepi kejayaan universiti pada zaman kegemilangan Islam ialah perpaduan dan berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah kerana perpaduan bukan hanya slogan dan retorik tetapi tuntutan Allah SWT yang sentiasa menekankan kepada perpaduan dalam kalangan ummah dan meletakkan dalam pola pemikiran," kata Khairudin.

Kira-kira 300 orang menghadiri majlis tersebut. Hadir sama ialah Naib Canselor USM Profesor Dato' Dr. Omar Osman dan isteri Datin Noraizan Jamaludin, Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal dan Pengarah Pusat Islam Profesor Dato' Dr. Muhammad Idiris Saleh.

Teks: Mohamad bin Abdullah

Foto: Zamani Abdul Rahim

  • Created on .
  • Hits: 1152

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024