PROGRAM CELIK GENETIK DAN TEROKAI SEL STEM PUPUK KESEDARAN MASYARAKAT
KEPALA BATAS, 17 Oktober 2015 – Kumpulan “Lung Stem Cell and Gene Therapy”, Kluster Perubatan Regeneratif, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) dengan kerjasama Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat Universiti Sains Malaysia (USM) mengadakan program jelajah Celik Genetik, Terokai Sel Stem kepada pelajar sekolah menengah dan orang awam di daerah Seberang Perai Utara yang bertemakan “Menyelusuri Dunia Genetik Manusia dan Sel Stem” baru-baru ini untuk mendedahkan masyarakat terhadap kepentingan perkara ini.
Menurut Ketua Kluster Perubatan Regeneratif IPPT USM, Dr. Badrul Hisham Yahaya hal ini adalah seiring dengan kemajuan Sains dan Teknologi dalam penyelidikan perubatan, bidang genetik manusia telah berkembang dan diterokai dari segenap aspek dalam membantu saintis, pakar perubatan menyelidik dan merungkai kemusykilan berkaitan dengan penyakit manusia.
"Pelbagai bentuk kajian dan penemuan baharu telah dikaji bagi membantu memahami dan seterusnya merawat penyakit manusia, antara kajian yang menjadi fokus utama para penyelidik ialah terapi gen (gene therapy) dan sel stem (stem cell) sebagai salah satu kaedah untuk merawat sesuatu penyakit," kata Badrul Hisham.
Jelasnya, pendedahan tentang perkembangan dunia penyelidikan sains perubatan terutama berkaitan bidang genetik dan sel stem kepada generasi muda terutamanya para pelajar sekolah menengah seharusnya giat dijalankan bagi menarik minat dan menimbulkan kesedaran dalam diri mereka tentang bidang ini apatah lagi universiti sebagai sebuah institusi yang melahirkan cendekiawan dalam pelbagai bidang seharusnya memainkan peranan penting dalam membantu menyalurkan dan berkongsi maklumat yang berkaitan kepada masyarakat.
Kira-kira 120 orang pelajar sekolah menengah dari 12 buah sekolah telah dipilih dan dijemput ke IPPT untuk mengikuti program yang berlangsung selama 2 hari.
Pemilihan pelajar adalah berdasarkan kecemerlangan akademik mereka dalam subjek biologi dan menunjukkan minat yang mendalam dalam bidang genetik.
Program diisi dengan ceramah mengenai sains genetik dan sel stem, lawatan ke makmal, pameran penyelidikan, pameran pendidikan kesihatan dan kuiz.
Tambahnya lagi, program ini adalah bertujuan untuk memupuk minat pelajar terhadap bidang genetik manusia dan sel stem, memberi kesedaran tentang kepentingan genetik dan kesannya terhadap penyakit keturunan, mendekatkan para pelajar dengan USM sebagai institusi pengajian tinggi yang cemerlang seterusnya menanam minat mereka untuk menjadikan USM sebagai universiti pilihan untuk melanjutkan pengajian.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bertam Perdana, Muhammad Nazrin Razib, 16, amat gembira kerana dipilih sebagai peserta.
"Di sekolah, topik tentang genetik dan sel stem diajar oleh guru tetapi tidak begitu mendalam dan melalui sesi ceramah dan pameran yang diadakan telah menambah kefahamannya, katanya yang bercita-cita menjadi juruterbang,"katanya.
Kemuncak program jelajah Celik Genetik, Terokai Sel Stem adalah bersama dengan masyarakat di Masjid At-Taqwa, Taman Bertam Indah, Kepala Batas, Pulau Pinang yang diadakan dengan kerjasama Jawatankuasa Qariah Masjid At-Taqwa.
Menurut Badrul lagi, program ini adalah bertujuan untuk membuka minda masyarakat tentang bidang sains terutama berkaitan genetik manusia dan sel stem, memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai sel stem serta kebaikannya dalam bidang perubatan, membentuk jaringan kerjasama penduduk setempat dengan USM untuk berkongsi kepakaran bersama.
Setiausaha Qariah Masjid At-Taqwa, Haji Abdul Rahman Abdullah, 60, melahirkan rasa gembira kerana Masjid At-Taqwa terpilih sebagai lokasi program dan berpeluang menjadi penganjur bersama program pada hari ini.
"Banyak ilmu baru yang beliau perolehi melalui program seumpama ini dan selalunya di masjid kuliah dan ceramah hanya fokus kepada pengajian agama tetapi program pada hari ini lain dari yang lain kerana menceritakan tentang ilmu sains dan perubatan dan kami harap program ini diperluaskan lagi kerana peranan masjid bukan sahaja sebagai tempat ibadah malah menjadi tempat perkembangan ilmu," kata Abdul Rahman.
Pelbagai aktiviti diadakan di sini, antaranya ceramah tentang genetik dan sel stem, pameran penyelidikan Lung Stem Cell and Gene Therapy Group, kenali ubat anda, kanser payudara, klinik berhenti merokok, piramid makanan, sampel makmal dan perkhidmatan koc bergerak untuk ujian saringan mammogram.
Selain itu, turut diadakan aktiviti menderma darah, cucian tangan, pemeriksaan lemak dalam badan dan pemeriksaan kesihatan.
Teks : Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid
Foto : Norizan Ishak
- Created on .
- Hits: 1199