USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USAHA IPPT USM DIDIK ORANG ASLI TERHADAP PENYAKIT KANSER MULUT

GERIK, 17 Oktober 2015 - Masyarakat orang asli yang ada di negara ini perlu diberi lebih maklumat dan ilmu pengetahuan berkenaan penyakit kanser terutamanya kanser mulut kerana berdasarkan pemerhatian yang dibuat kesedaran mereka terhadap penyakit ini sangat kurang walau pun pelbagai kempen dibuat oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dan agensi tertentu untuk meningkatkan taraf hidup dan kesihatan komuniti ini. 

Menurut Pakar Orthodontik Institut Pergigian dan Perubatan Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia Dr. Norehan Mokhtar, kebanyakan  mereka kurang menjaga kesihatan terutamanya mulut apabila sering mengamalkan tabiat mengunyah sireh dan menghisap rokok tembakau. 

"Tabiat inilah punca yang boleh menyebabkan mereka berhadapan dengan risiko menghidap kanser mulut yang mungkin ramai  mengetahui risikonya namun tidak mengambil peduli," katanya. 

Norehan ditemui ketika melaksanakan program komuniti Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), "Early Cancer Awareness: Empowering the Temiar Tribe Orang Asli Community" di Perkampungan Orang Asli Kampung Ulu Gerik, Pengkalan Hulu, Gerik Perak. 

Kira-kira  80 orang penduduk  hadir dalam program sehari yang dianjurkan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat orang asli tentang pentingnya pengesanan awal penyakit kanser mulut. 

Menerusi program di bawah kelolaan Kluster Sains Kraniofasial dan Biobahan IPPT ini, penduduk orang asli yang terdiri daripada suku kaum Temiar diberi khidmat nasihat dan pengetahuan khusus berkenaan bahaya kanser mulut serta punca-puncanya. 

Demonstrasi pengesanan awal kanser mulut juga turut diadakan selain pemeriksaan kesihatan mulut oleh Pegawai Pergigian serta sesi konsultasi kepada setiap peserta. 

Set berus dan ubat gigi turut diedarkan kepada setiap penduduk dewasa dan kanak-kanak bertujuan untuk menggalakkan mereka menjaga kesihatan gigi dan mulut. 

"Menerusi program ini, kami mensasarkan agar setiap penduduk orang asli ini dapat melakukan sendiri pemeriksaan awal kanser mulut bagi mendapatkan rawatan awal sekiranya didapati positif menghidap kanser," tambah Norehan lagi. 

Program ini mendapat kerjasama daripada Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dan Tabika KEMAS JHEOA Kampung Ulu Gerik, Gerik Perak. 

Teks / Foto : Faisal Jamaludin

  • Created on .
  • Hits: 967

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024