KEARIFAN TEMPATAN: INDAHNYA SASTERA SUNTINGAN RAHIMAH A.HAMID MANFAAT BUAT PELAJAR
BANDUNG, 16 OKTOBER 2015 - Keunikan Sastera Melayu yang indah dan unik dengan lantunan kata yang memberi seribu satu makna dalam warna warni kehidupan hasil karya suntingan Profesor Madya Dr. Rahimah A.Hamid wajar dimanfaatkan pelajar untuk kajian dan pembelajaran.
Dua buah buku hasil suntingan Rahimah bertajuk 'Kearifan Tempatan: Pandainya Melayu Dalam Karya Sastera' dan Kearifan Tempatan: Dari Lisan ke Aksara dan Media' memberi sinar dalam dunia kesasteraan untuk diteruskan kesinambungan buat generasi masa kini dan masa hadapan.
Buku ini memyatkan kata yang indah dalam bentuk syair, sajak dan lain-lain memberikan impak kepada pelajar terutamanya untuk mengkaji, menilai dan seterusnya menghargai khazanah yang cukup berharga buat bangsa Melayu.
Rahimah berkata, penerbitan buku ini juga melibatkan ramai penulis-penulis yang berpengalaman dalam kesusasteraan pelbagai bidang bagi merealisasikan harapan ini melalui dua buah buku ini.
"Banyak cabaran dihadapi ketika proses menerbitkan buku tersebut dan saya memerlukan masa yang agak lama untuk merujuk,mengkaji seterusnya menyunting sebelum disah dan diterbitkan,"kata Rahimah.
Buku-buku tersebut bersama 9 buah buku lain telah dilancarkan oleh Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Dr. Omar Osman sempena Persidangan Antarabangsa Kearifan Tempatan 2015 yang diadakan di Bandung, Indonesia, baru-baru ini.
Rahimah mengharapkan kedua-dua buah buku ini akan dijadikan bahan pembelajaran dan kajian buat para pelajar USM khususnya dalam menghayati erti dan khazanah sastera Melayu.
"Pastinya jika pelajar dapat mengkaji dan menilai karya sastera termasuklah dijadikan soalan peperiksaan melalui buku ini, ia mampu memberikan impak positif melalui idea idea baru dari generasi muda ini apatah lagi keunikan lenggok dan makna isi cerita sastera dahulu kala melalui lisan turut dijadikan bahan untuk tujuan membangunkan nilai budaya dan jati diri bangsa untuk rujukan pada masa akan datang,"katanya lagi.
Karya ini melibatkan penulis dan sasterawan dari Thailand dan Indonesia yang disunting Rahimah untuk mudah difahami oleh masyarakat di Malaysia.
"Pelajar terutamanya saya menyeru agar merebut peluang untuk memiliki buku-buku sastera seperti ini kerana ia memberikan nilai dan skop yang lebih luas sastera nusantara selain Malaysia untuk dipelajari," kata Pensyarah di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM itu.
Rahimah telah terlibat dalam menyunting 6 buah buku sejak penganjuran Persidangan Kearifan Tempatan tahun 2011, turut mengharapkan lebih ramai cendiakawan mampu bekerjasama dalam menerbitkan karya sastera Melayu melalui pelbagai skop.
Kekuatan dan jati diri bangsa Melayu dalam sastera akan lebih berharga jika kita dapat memahami betapa kreatif dan pandainya nenek moyang kita dahulu melantun indah dengan kata yang digubah menjadi karya sastera.
- Lapor Mohd Azrul Mohd Azhar yang menghadiri Persidangan Antarabangsa Kearifan Tempatan 2015 di Bandung, Indonesia, baru-baru ini.
- Created on .
- Hits: 1161