USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

LESTARIKAN BUDAYA CUCI TANGAN HINDAR PENYAKIT

PULAU PINANG, 16 Okt. 2015 – Walaupun nampak remeh, amalan mencuci tangan sebenarnya memberi kesan yang sangat besar dalam kehidupan manusia, khususnya kepada kanak-kanak dan pengendali makanan.

Pengarah Pusat Sejahtera Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Normala Abdul Wahid berkata, mencuci tangan wajib dipraktikkan dan ia perlu dilakukan dengan teknik yang betul dan praktikal.

Katanya, tangan yang tidak dibasuh dengan betul dan bersih berkemungkinan membawa kuman-kuman yang boleh mendatangkan penyakit serius termasuk penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) yang sering menyerang kanak-kanak.

“Justeru sebagai sebuah Universiti yang berteraskan kepada kelestarian, kita komited untuk terus membudayakan amalan ini dalam kalangan warga kampus.

“ Dalam masa yang sama melalui Sekretariat Kampus Sejahtera, USM akan sentiasa menyuntik amalan-amalan baik untuk kesejahteraan kehidupan untuk dipraktikkan warga kampus,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi ceramah khas yang mengajar teknik yang betul bagi mencuci tangan, yang dibuat bersempena Hari Cuci Tangan Sedunia 2015 yang disambut pada 15 Oktober setiap tahun, di sini semalam.

Normala juga berkata, walaupun kes-kes penyakit bawaan kuman tidak begitu membimbangkan di USM, namun pihaknya akan terus melestarikan gaya hidup sihat dan bersih dalam kalangan warga kampus.

“ Kita komited dalam mencegah dari merawat. Budaya ini perlu terus disemai agar menjadi sebahagian dari cara hidup warga kampus, yang pada akhirnya akan memebri manfaat kepada kesihatan sendiri dan kesejahteraan kampus,” katanya.

Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 806

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024