USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PELAJAR USM TERIMA ANUGERAH MAAL HIJRAH 1437H PERINGKAT NEGERI SARAWAK

12119029 10207756705340001 2630804671433531580 n

PULAU PINANG, 15 Oktober 2015 – Pelajar tahun pertama Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia (USM) Muhammad Syahdad Naquiyuddin Hadi Suhardi menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Pelajar Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM)  peringkat Negeri Sarawak 1437H  tahun ini semalam.

Muhammad Syahdad menerima hadiah wang tunai RM3 000, bantuan kewangan pelajaran dari Kerajaan Negeri Sarawak bernilai          RM 4000, sijil penghargaan berserta plak yang disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud di Dewan Suarah Miri, Sarawak.

Pemilihan Muhammad Syahdad, 20 anak jati Kota Samarahan itu berdasarkan kejayaannya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan STPM tahun lepas dan kegiatan ko-kurikulum khususnya dalam pertandingan pidato dan debat sehingga berjaya meraih anugerah Pendebat Terbaik Negeri Sarawak pada tahun 2011 dan merupakan peserta pidato kebangsaan pada tahun 2012.

12141714 10207756705740011 8663138796398592327 n2

“Kejayaan saya menerima anugerah pada sambutan Maal Hijrah pada tahun ini merupakan penghargaan yang terbesar yang pernah saya terima," kata Muhammad Syahdad.

Baginya, sekolah dan ibu bapa merupakan penggerak utama kejayaan  ini kerana memberi peluang kepadanya untuk melakukan perkara yang sangat diminatinya.

Berkongsi rahsia kejayaannya dalam pelajaran, Muhammad Syahdad berkata, amalan saling berkongsi ilmu bersama-sama rakan menjadi teras utama yang diterapkan dalam pembelajaran sehariannya semasa di sekolah.

"Rajin dan tidak lokek ilmu merupakan kunci kejayaan saya memperoleh keputusan yang cemerlang dalam STPM pada tahun lepas selain seimbangkan aktiviti luar kelas tanpa menjejaskan pelajaran," katanya lagi.

IMG 0980

Walau pun bergiat aktif dalam pertandingan pidato dan debat selain turut menjadi Pengerusi Persatuan Tingkatan Enam SMK Kota Samarahan dengan komitmen yang agak berat, namun  pelajaran tidak diabaikan.

Anak kepada seorang pendidik ini berharap dapat meneruskan minatnya dalam pertandingan pidato dan debat di peringkat universiti dan berharap dapat mengharumkan nama USM suatu hari nanti.

"Rakan- rakan banyak membantu apabila  ketinggalan dalam pembelajaran dan saya rajin bertanya kepada guru apabila tidak memahami sesuatu perkara," tambah anak kedua dari empat adik beradik ini.

Teks: Syuhada Bt Abd Aziz
Foto: Mohamad Fairus Md Isa/ Muhammad Syahdad Naquiyuddin Hadi Suhardi

  • Created on .
  • Hits: 1318

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024