USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROFESOR DR. NIK HAZLINA RANGKUL ANUGERAH KARYA ILMIAH KEBANGSAAN

12118888 10207756598417328 4359759528645074881 n

Kubang Kerian,  15 Okt – Pensyarah Unit Perkembangan Kesihatan Wanita (UKPW), Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dr. Nik Hazlina Nik Hussain telah dinobatkan pemenang utama Anugerah Karya Ilmiah 2015 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Buku yang bertajuk 'Kehamilan dan Kelahiran' ini memenangi anugerah karya ilmiah tinggi itu bersaing dengan karya-karya yang dihantar oleh seluruh penerbit di Malaysia kepada urusetia Majlis Buku Ilmiah, DBP,  merupakan hadiah tertinggi negara dalam penulisan ilmiah berbahasa Melayu.

Menurut Nik Hazlina, buku 'Kehamilan dan Kelahiran' itu menghuraikan satu persatu berkenaan perubahan yang berlaku semasa persenyawaan, sejurus sebelum seseorang wanita itu hamil (peringkat prakehamilan), semasa kehamilan bermula dari peringkat paling awal kehamilan, seterusnya peringkat pertengahan dan peringkat akhir kehamilan.

"Dalam buku ini juga ada diberikan penjelasan berkenaan kehamilan normal dan juga kehamilan yang bermasalah mengikut peringkat kehamilan seterusnya, dibincangkan juga berkenaan proses pelahiran. Bermula dengan proses pelahiran normal dan tidak normal, iaitu pelahiran songsang dan pelahiran menggunakan alat bantuan seperti vakum dan forsep," kata Hazlina.

Buku ini amat sesuai dengan pengamal perubatan, pelajar perubatan, pelajar pergigian, pelajar farmasi, pelajar sains kesihatan, pelajar kejururawatan dan pelajar bidang pemakanan sama ada pada peringkat diploma, pra-siswazah, siswazah dan juga pasca siswazah.

"Harapan saya ialah, dengan memperoleh pengiktirafan sebegini daripada pihak DBP mampu memberikan motivasi kepada rakan-rakan akademik yang lain untuk menerbitkan buku ilmiah berdasarkan kepakaran masing-masing. Semoga buku yang diterbitkan ini boleh membantu menyebarkan maklumat kepada masyarakat terutamanya golongan terkebawah dalam memastikan mereka juga tidak ketinggalan dalam aliran maklumat kesihatan," kata Nik Hazlina.

Anugerah disampaikan oleh Menteri Besar Kedah Dato Seri Mukhriz Tun Mahathir ketika Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat Kebangsaan 2015 di Wisma Darul Aman, Alor Setar Kedah baru-baru ini.

 Teks : Mohamad Iqmal Mathlan

  • Created on .
  • Hits: 1374

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024