USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KANSER PAYUDARA : LELAKI LEBIH ALAMI KOMPLIKASI TERUK JIKA TIDAK DIRAWAT SEGERA

Kubang Kerian 15 Oktober - Golongan lelaki di negara ini diingatkan supaya tidak memandang remeh penyakit kanser payu dara kerana mereka juga berisiko diserang penyakit itu bahkan implikasinya lebih teruk berbanding wanita.

Penyelaras Pusat Sumber Kanser Payudara Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Dr. Nik Munirah Nik Mahdi berkata, kanser payudara yang menyerang golongan lelaki adalah lebih berbahaya kerana sel kanser itu lebih agresif berbanding sel kanser yang menyerang golongan wanita.

"Beranggapan kanser payudara hanya menyerang wanita menyebabkan ramai lelaki yang masih memandang remeh perkara ini sedangkan mereka juga sebenarnya berisiko diserang penyakit yang sama.

Ujar Nik Munirah juga, sebagaimana wanita, lelaki juga perlu mendapatkan rawatan segera sekiranya mengesan keganjilan seumpama benjolan terutama di puting payudara atau pembesaran sebelah payudara secara tiba-tiba.

Dr. Nik Munirah yang juga Pakar Radiologi berkata, lelaki di Kelantan bertuah kerana mempunyai tempat khas untuk membuat rujukan mengenai penyakit itu iaitu dengan mengunjungi Pusat Sumber Kanser Payudara di Hospital USM.

Katanya, pusat sumber itu berperanan  untuk kedua-dua golongan iaitu wanita dan lelaki dalam mendapatkan informasi berkaitan penyakit kanser. Selain itu, pusat sumber itu juga menyediakan sukarelawan untuk membantu masyarakat mengenai kesedaran penyakit kanser.

"Pusat Sumber Kanser Payudara adalah untuk semua golongan, pesakit yang ingin mendapatkan rawatan mahupun kaunseling mengenai penyakit itu boleh hadir pada bila-bila masa waktu bekerja," katanya.

Munirah juga menjelaskan, sehingga kini pusat berkenaan mendapat sambutan memberangsangkan tetapi masih ramai yang tidak tahu mengenai kewujudan pusat berkenaan yang bersifat mesra pesakit.

Pusat sumber berkenaan yang dapat dimanfaatkan pesakit kanser payudara dan keluarga pesakit di seluruh Pantai Timur dan Semenanjung Malaysia itu selain membantu memberi rawatan dan penjagaan selepas pembedahan, ia juga dilengkapi dengan beberapa unit komputer dengan kemudahan capaian jalur lebar untuk kemudahan pesakit mencari maklumat tentang kanser itu.

Selain itu, turut disediakan mini perpustakaan yang memuatkan buku ilmuan mengenai kanser payudara. Pusat sumber kanser payudara HUSM boleh dihubungi melalui talian 097674056 pada waktu pejabat untuk sebarang pertanyaan.

Teks : Mohamad Iqmal Mathlan

  • Created on .
  • Hits: 803

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024