USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

FESTIVAL INDONESIA PENANG 2015 ERAT HUBUNGAN MALAYSIA-INDONESIA

IMG 0956fgh

PULAU PINANG, 15 Oktober 2015 – Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Pulau Pinang dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA) Universiti Sains Malaysia (USM) dan Persatuan Pelajar Indonesia (PPI) USM  akan menganjurkan Festival Indonesia Penang 2015 pada 16 Oktober 2015 di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) USM.

Timbalan Pendaftar, HEPA USM Husin Yahaya berkata, festival ini selain dapat mengeratkan hubungan antara Malaysia dan Indonesia di USM, ianya juga dapat  mempromosikan perdagangan dan pelancongan Indonesia di Malaysia.

IMG 0873

“Pameran-pameran khas seperti pembuatan kraftangan dari Indonesia akan dipamerkan, persembahan tarian dan kebudayaan, persembahan orkestra buluh, pertunjukan fesyen dan sebagainya akan dipersembahkan pada hari tersebut sekaligus dapat memperkenalkan budaya Indonesia kepada kita semua,” katanya.

Tambahnya lagi, terdapat lebih 250 orang pelajar Indonesia yang belajar di USM yang mampu mengeratkan hubungan pelajar Indonesia di USM bersama-sama pelajar yang lain sekaligus mempromosikan USM dalam kalangan masyarakat Indonesia.

Sementara itu, wakil Konsulat Jenderal Indonesia, Isana Mandasari berkata, festival ini akan membawa pelajar-pelajar USM khususnya dari Malaysia dan negara lain mendalami budaya Indonesia sekaligus dapat memperkenalkan tradisional Indonesia yang masih banyak belum diterokai dan diketahui oleh masyarakat Malaysia.

IMG 0895cn

“Terdapat 20 pameran dan gerai jualan yang akan mengambil bahagian dalam festival ini antaranya pameran perdagangan dan ekonomi kreatif Indonesia yang akan mempamerkan produk kain asli Indonesia dari 34 wilayah di Indonesia selain promosi pakej pelancongan ke Indonesia turut menanti pengunjung.

"Selain itu juga, Batik Fractal iaitu hasil gabungan teknologi yang menggunakan formula matematik dan lukisan batik secara tradisional yang menggunakan tangan  dinamakan software Jbatik yang menghasilkan seni Indonesia yang unik turut dipamerkan pada festival nanti,” tambahnya lagi.

Pada sebelah malamnya, PPI USM akan menganjurkan Malam Kesenian Indonesia (MKI) yang akan menampilkan persembahan kesenian dan kebudayaan yang berasal dari Indonesia.  

IMG 0973ghj

Menurut Pengarah Projek MKI, Dian Adha Mayangsari, penganjuran pada tahun adalah kali keempat dan membawa sedikit kelainan apabila Konsulat Jenderal Republik Indonesia turut sama berganding bahu dalam memperkenalkan budaya Indonesia khususnya kepada pelajar-pelajar USM.

“Pada tahun ini, MKI akan membawa artis dari Indonesia, Cakra Khan yang akan membawa lagu-lagu bertema pop Indonesia untuk memeriahkan lagi majlis selain turut diadakan persembahan tarian tradisional dan Gamelan daripada pelajar Sekolah Indonesia Kuala Lumpur serta  pertunjukan muzik kacapi dan seluring dari Karangputran Hospitality dan Sasando Nusa Tenggara Timur dari Kementerian Pariwisata Indonesia,” katanya ketika sidang media mempromosikan Festival Indonesia Penang 2015 di sini, hari ini.

Festival Indonesia 2015 ini akan dirasmikan oleh Duta Indonesia di Malaysia, TYT Herman Prayitno.

Teks: Syuhada Abd. Aziz

Foto: Mohd Fairus Md Isa 

  • Created on .
  • Hits: 1209

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024