NAIB CANSELOR UCAP TAHNIAH KEPADA USTAZ ELLIAS
BANDUNG, 14 Oktober 2015 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Dr. Omar Osman mengucapkan tahniah kepada Profesor Madya Dato' Al-Ustaz Haji Ellias Haji Zakaria atas penganugerahan sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Pulau Pinang pada tahun ini yang disampaikan oleh Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Dato’ Seri Utama Dr. Haji Abdul Rahman Haji Abbas dalam majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 1437H/ 2015M di Dewan Mellinium, Kepala Batas pagi ini.
Omar ketika berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Kearifan Tempatan di sini menzahir rasa syukur dan bangga dengan penganugerahan tersebut.
"Ustaz Dato' Ellias telah lama memberikan sumbangannya dalam pembangunan umat Islam di negeri ini malah negara melalui pelbagai cara termasuk memegang pelbagai jawatan dalam pengurusan institusi yang berkaitan," kata Omar.
Ellias yang ditemui selepas majlis di Dewan Mellinium Kepala Batas berkata, penganugerahan ini diterima dengan penuh syukur kepada Allah SWT yang mengiktiraf sumbangannya terutama di USM dan negeri Pulau Pinang.
"Saya juga dedikasikan anugerah ini untuk isteri tercinta dan anak-anak serta keluarga yang banyak berkorban selama ini," kata Ellias.
Teks: Mohamad Bin Abdullah
- Created on .
- Hits: 955