USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

LEBARKAN DAN TEROKAI RANGKAIAN STRATEGIK GLOBAL SERANTAU

IMG 20151014 WA0037

BANDUNG, 14 Oktober 2015 – Kumpulan Kearifan Tempatan Universiti Sains Malaysia (USM) melebarkan lagi peranannya dalam bidang kearifan tempatan serantau dengan penganjuran Persidangan Antarabangsa Kearifan Tempatan 2015.

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Omar Osman, persidangan kali ini adalah satu kejayaan dengan penyertaan 21 institusi  pendidikan dari lima buah negara iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan Rusia yang membentangkan lebih dari 100 kertas kerja.

"Fokus utama persidangan yang bertemakan Paksi Ilmu Pengetahuan Dunia kali ini ialah penyelidikan berkaitan epistemologi tempatan dan kebolehsesuaian epistemologi tersebut untuk melakukan transformasi sosial dengan melibatkan pembentangan penemuan baharu, pandangan dan pengalaman dalam bidang kearifan tempatan ini," katanya.

IMG 20151014 WA0041

Tambah Omar, kearifan tempatan adalah salah satu daripada kekuatan yang harus diterokai dan diperkasakan dalam jangka panjang yang merentasi pelbagai disiplin ilmu, berkongsi akar budaya Nusantara yang mempunyai pelbagai persamaan dengan akal budi luar biasa yang tinggi.

"Kejayaan kearifan tempatan ini akan menjadi pendokong kepada Ijazah Sarjana Muda Sains Warisan yang akan dilaksanakan kelak di USM serta membina jaringan hubungan dengan pusat-pusat penyelidikan, badan-badan kerajaan dan universiti tempatan mahupun antarabangsa," kata Omar.

IMG 20151014 WA0042

Sebanyak 11 buah lagi buku baharu kearifan tempatan dilancarkan hari ini, hasil daripada kertas kerja persidangan yang diadakan sebelum ini dan juga pelancaran Asian Local Knowledge Network (ALKN)  untuk mewujudkan rangkaian institusi tempatan dan serantau, organisasi serta individu yang mengamalkan kearifan tempatan.

Omar mengharapkan agar ilmu kearifan tempatan Melayu di Nusantara  dimartabatkan serta dipastikan kelangsungannya dalam jangka panjang, dengan kepakaran yang ada dalam pelbagai disiplin di universiti-universiti serantau seperti Malaysia, Indonesia, Thailand, Brunei dan beberapa buah negara lain dapat digabung agar ilmu ini diterokai dengan seluas mungkin dalam pemikiran dan budaya yang ada.

IMG 20151014 WA0062

Sebanyak 15 tema diberi fokus dalam persidangan ini iaitu antropologi, bahasa dan kesusasteraan, kearifan tempatan dan teknologi, kearifan tempatan dan sains, kearifan tempatan dan pentadbiran, kelestarian, kearifan tempatan kontemporari, pemindahan ilmu, pemuliharaan, pendidikan, pengurusan pengetahuan, persembahan dan kebudayaan, perubatan tradisional, sejarah dan sistem pengetahuan.

Yang turut hadir adalah wakil Rektor dari Institut Teknologi Bandung (ITB), Profesor Dr. Insinyur Bambang Riyanto Trilaksono; Rektor Universitas Pasundan (UNPAS), Prof. Dr. Insinyur Haji Eddy Jusoh SP M Kom dan  Rektor Universitas Langlangbuana (UNLA), Dr. Haji Nana Rukmana Asmita Es Ha M Ha.

Lapor Hafiz Meah Ghouse Meah dari Bandung, Indonesia

  • Created on .
  • Hits: 684

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024