USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KEARIFAN TEMPATAN PERLU PERHATIAN SERIUS SEMUA PIHAK

IMG 20151014 WA0069

BANDUNG, 14 Oktober 2015 – Kearifan tempatan yang semakin lenyap ditelan arus globalisasi perlu dipandang serius oleh semua pihak supaya khazanah berharga ini tidak lupus untuk diwariskan kepada generasi muda masa kini.

Peserta dan juga pembentang kertas kerja Persidangan Antarabangsa Kearifan Tempatan 2015 yang sedang berlangsung di sini, Siti Mastura Md Ishak berkata khazanah ini jangan dipandang remeh kerana kita semua bermula dari unsur budaya ini.

Siti Mastura, 37, menambah, masyarakat rumpun Melayu di Malaysia perlu memandang serius perkara ini memandangkan terlalu kurang pihak yang berusaha memartabatkan kembali kearifan tempatan untuk generasi muda.

"Saya melihat pentingnya untuk masyarakat Malaysia dan ASEAN saling bekerjasama lebih mapan menaikkan semula ilmu-ilmu budaya supaya boleh diterima pakai generasi muda sebagai amalan hidup.

Siti Mastura yang sedang mengikuti pengajian peringkat ijazah kedoktoran di Universiti Malaya dalam bidang 'Cultural aesthetic experience' meminta kerajaan  memainkan peranan utama dalam proses memartabatkan kearifan tempatan di mata dunia.

"Kerajaan dan pihak media berperanan besar untuk mempromosi dan menyebarluaskan khazanah turun-temurun berharga ini tanpa ada kepentingan tertentu supaya sentiasa relevan kepada masyarakat," kata pensyarah 'Industrial Design' Universiti Putra Malaysia (UPM) itu.

IMG 20151014 WA0071

Sementara itu, Cho Minsung dari Korea Selatan berpendapat Kearifan Tempatan memerlukan pendekatan lebih efektif melalui kerjasama dengan pelbagai negara seperti yang dilakukan USM ini.

"Walaupun di bawah rumpun Asia, kita masih tidak memahami unsur budaya masing-masing antara negara sedangkan di Korea Selatan, usaha membangunkan sektor pelancongan begitu pesat melalui Kementerian dan Kebudayaan Korea Selatan kerana kerajaan percaya melalui pelancongan dapat menyalurkan ilmu kearifan tempatan Korea kepada pelancong termasuklah menerima ilmu ini dari luar negara untuk Korea Selatan," katanya.

Cho Minsung yang petah berbahasa Melayu turut percaya bahawa pembangunan pelancongan mampu memartabatkan kearifan tempatan untuk semua negara.

"Setakat ini dilihat Korea, Malaysia dan Indonesia telah membina platform untuk membuka ruang ilmu ini untuk generasi masa hadapan," tambahnya lagi.

Cho Minsung, 32, yang kini melanjutkan pengajian Kedoktoran dalam Penterjemahan Bahasa Melayu dan Korea berkata,  langkah seterusnya adalah kolaborasi bersama antara negara-negara Asia seperti Korea, Malaysia dan Indonesia untuk berkongsi ilmu dan kepakaran bagi tujuan tersebut.

IMG 20151014 WA0074

Hal ini turut diakui peserta dari Brunei Darussalam, Mohamad Bahiyuddin Aji, 27, yang mengharapkan setiap negara di ASEAN berganding bahu memartabatkan kearifan tempatan demi kelestarian masa hadapan.

"Saya berbangga dengan usaha USM yang saban tahun berusaha menambahbaik persidangan ini sehingga ke peringkat antarabangsa pada tahun ini,” katanya yang kini melanjutkan pengajian Sarjana Akademi Pengajian Brunei di Universiti Brunei Darussalam.

Mohamad Bahiyuddin berharap penganjuran persidangan ini menjadi titik tolak untuk Brunei berusaha seperti yang dilakukan USM demi menjunjung perkongsian kearifan tempatan bersama.

Lapor Mohd Azrul Mohd Azhar dari Bandung, Indonesia.

  • Created on .
  • Hits: 1171

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024