USM METERAI PERJANJIAN DENGAN 3 INSTITUSI DI INDONESIA PERKASA KEARIFAN TEMPATAN
BANDUNG, 14 Oktober 2015 – Kerjasama di antara institusi pendidikan tinggi Malaysia dan Indonesia diperkukuhkan lagi melalui penandatanganan Perjanjian Kolaborasi Universiti Sains Malaysia (USM) dengan Institut Teknologi Bandung (ITB), Universitas Langlangbuana (UNLA) dan Universitas Pasundan (UNPAS) sempena Persidangan Antarabangsa Kearifan Tempatan 2015 di sini hari ini.
Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Omar Osman berkata, melalui perjanjian ini, kerjasama dalam bidang kearifan tempatan dapat diperkasakan antara institusi yang terlibat serta jaringan di peringkat global oleh USM dengan institusi lain dapat diperhebatkan lagi.
"Para penyelidik dan pihak terlibat diharap dapat menggunakan platform ini untuk terus memartabatkan kerjasama dan kolaborasi dalam kearifan tempatan bagi terus memelihara dan memulihara perkara ini," katanya yang juga Penaung Kumpulan Kearifan Tempatan USM.
Tambah Omar lagi, melalui perjanjian ini, diharapkan lebih banyak kerjasama dapat dilakukan di masa hadapan bukan sahaja dengan Indonesia malahan dengan Brunei, Singapura dan lain-lain negara dalam kearifan tempatan ini.
Menurut wakil Rektor dari ITB, Profesor Dr. Insinyur Bambang Riyanto Trilaksono, Bandung adalah kawasan yang kaya dengan kearifan tempatan dari segi kebudayaan, alatan muzikal tradisional dan lain-lain yang berkaitan yang boleh diketengahkan.
"Terokai Bandung kerana kawasan ini boleh dijadikan contoh dalam bidang kearifan tempatan serta para peserta diharapkan dapat bertukar-tukar ilmu pengetahuan dan idea lebih lanjut dalam aspek kolaborasi, kesetiakawanan dan pemahaman berkaitan isu yang dibicarakan," katanya.
Bagi Rektor UNPAS, Prof. Dr. Insinyur Haji Eddy Jusoh SP M Kom pula, kolaborasi yang dipersetujui antara semua yang menandatanganan perjanjian hari ini dapat melebarkan lagi sayap bidang kearifan tempatan di rantau ini yang dapat juga dilebarkan ke peringkat global pada suatu masa kelak.
"Para peserta persidangan yang datang dari pelbagai negara juga dapat mewujudkan suasana untuk bersidang yang lebih baik dan matlamat persidangan dapat dicapai kali ini juga merupakan pertama kali dianjurkan di peringkat antarabangsa," tambah beliau.
Sementara itu, Rektor dari UNLA, Dr. Haji Nana Rukmana Asmita Es Ha M Ha pula menjelaskan, perjanjian serta persidangan ini dapat memulihkan semangat kekitaan di Indonesia di mana katanya buat masa ini keadaan di Indonesia masih terkesan dengan semangat kekamian yang seharusnya diubah kepada semangat kekitaan di kalangan rakyat.
"Kita harus mengembalikan semangat kekitaan tersebut kerana ianya nyata berguna untuk kemajuan dari segi politik, ekonomi dan sosial di sini dan saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dengan penganjuran persidangan kali ini yang merupakan platform serta satu kejayaan buat kedua negara iaitu Malaysia dan Indonesia dalam bidang kearifan tempatan," jelasnya lagi.
Terdahulu, Naib Canselor USM menyempurnakan perasmian Persidangan Antarabangsa Kearifan Tempatan 2015 itu.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 716