USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ELLIAS ZAKARIA TOKOH MAAL HIJRAH NEGERI PULAU PINANG

 DSC7292

PULAU PINANG, 14 Oktober 2015 – Pengarah Pusat Transformasi Insan, Profesor Madya Dato’ Al-Ustaz Haji Ellias Haji Zakaria telah dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Pulau Pinang pada tahun ini yang disampaikan oleh Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Dato’ Seri Utama Dr. Haji Abdul Rahman Haji Abbas dalam majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 1437H/ 2015M di Dewan Mellinium, Kepala Batas pagi ini.

Ellias, 59, menerima sehelai jubah berwarna keemasan, medal, trofi, sijil penghargaan serta wang berjumlah RM8,000.00.

“Anugerah ini saya anggap untuk membentuk perubahan dalam menyumbang bakti dalam melaksanakan tugas-tugas dan menyampaikan dakwah atas prinsip melakukan kerja secara ikhlas kerana Allah SWT,” kata Ellias.

 DSC7284ggh

Tambahnya, saya fikir ini adalah anugerah berdasarkan sumbangan saya melalui pelbagai institusi atau sukarela selama ini di samping perkhidmatan di peringkat universiti, negeri, kebangsaan dan antarabangsa yang bukan bertujuan untuk menerima anugerah tetapi semangat “Saya Sayang USM” yang ada di dalam diri.

Antara anugerah yang diterima Ellias sebelum ini ialah Tokoh Maal Hijrah (USM) 2006, Tokoh Dakwah (USM) 1998, Tokoh Maulidul Rasul (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) 2005, Tokoh Agama (Persatuan Melayu Pulau Pinang) 2010 dan Anugerah Tokoh Waris (SMKA Al-Mashoor (L)) 2010.Berlatarbelakangkan Pengajian Islam Syariah dan Tamadun Islam, perkhidmatan Ellias bersama USM selama 31 tahun sejak 1984 memberi kekuatan kepadanya untuk terus menyumbang bakti kepada universiti dan pihak luar yang memerlukan.

 DSC7290fg

Di antara penglibatannya termasuk sebagai peserta program bantuan kemanusiaan ke luar negara (Kemboja, Thailand, Indonesia), Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (2010-2011), Pengerusi Lembaga Pengarah Pusat Urus Zakat Pulau Pinang (2010-2012) dan sebagainya.Ellias turut merakamkan penghargaannya kepada USM dan kerajaan negeri Pulau Pinang kerana memberi peluang kepadanya selama ini apatah lagi dengan anugerah yang diterima ini.

Teks dan Foto: Zamani Abdul Rahim

  • Created on .
  • Hits: 4396

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024